ZHULIANG (dua dari kanan) akan ditawarkan untuk melakukan program pembangunan. -Foto fail
Fadhli Ishak
fadhli.ishak@nst.com.my


KESATUAN Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan jurulatih dari Australia akan menggantikan tempat Yang Zhuliang sebagai jurulatih skuad terjun elit negara, Januari depan.

Setiausaha Agung ASUM, Mae Chen yang enggan mendedahkan nama jurulatih itu, berkata jurulatih baharu itu akan menggabungkan lebih banyak pendekatan sains sukan seperti yang dikehendaki Institut Sukan Negara (ISN).

“Buat masa ini kami mempunyai jurulatih kedua, Zhang Yukun yang akan menggalas tugas sebagai jurulatih, tetapi Program Podium sudah mempunyai calon untuk menggantikan Zhuliang yang akan melapor diri bulan depan,” kata Mae ketika ditemui di Kompleks Sukan Negara, hari ini.

“Jurulatih itu sudah disahkan, tapi saya tidak boleh mendedahkan namanya sehingga selesai proses akhir, namun beliau berasal dari Australia. Beliau akan membantu Yukun (terlebih dahulu) selepas melaporkan diri.”

Mae menjelaskan, Zhuliang yang kontraknya akan berakhir pada 31 Disember ini ditawarkan untuk tugas lain dalam perancangan skuad terjun negara.

Menurutnya, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan ASUM sudah

membincangkan berkenaan masa depan Zhuliang dan menawarkannya untuk melakukan program pembangunan.

“Tapi kami belum pasti, terserah sepenuhnya kepadanya (Zhuliang).”

Mae turut mengulas mengenai kenyataan Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Aziz Zabidi semalam yang menyifatkan Zhuliang tidak menggunakan teknik latihan moden.

“Kami tidak boleh menafikan Zhuliang seorang jurulatih yang sangat bagus dan berjaya membawa sukan terjun Malaysia ke tahap tertinggi.

“ASUM sangat berterima kasih atas sumbangannya, kami sangat menghargai apa yang sudah dilakukannya, malah tiada kata-kata yang mampu diungkapkan.

“Kami perlu belajar untuk bekerja dengan gaya kerja masing-masing dan bekerja dalam persekitaran yang berbeza tetapi meraih kejayaan bersama.

“Tapi, melihat kepada perkembangan masa depan, kami perlu menggabungkan pendekatan sains sukan dalam teknik latihan, terutama untuk atlet Program Podium.”

Zhuliang dianggap jurulatih paling berjaya dalam sejarah sukan terjun negara. Di bawah bimbingannya, Malaysia memenangi empat pingat Kejohanan Dunia, termasuk emas diraih Cheong Jun Hoong di Budapest tahun ini.

Beliau turut mengemudi Malaysia melakar sejarah apabila penerjunnya menaiki podium di Olimpik London 2012 dan Rio tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 4:43 PM