PANDELELA berdiam diri selepas mengetahui ISN tidak sambung kontrak Zhuliang.
MUN Yee terima keputusan ISN.
Mohd Khairie Khalid
khairie@nstp.com.my


PENERJUN berpengalaman negara, Leong Mun Yee menegaskan dia bersedia menerima tunjuk ajar daripada jurulatih lain selepas Institut Sukan Negara (ISN) tidak memperbaharui kontrak Yang Zhuliang.

Menurut pemenang 17 pingat emas Sukan SEA itu, tugas atlet hanya menjalani latihan dan akur dengan keputusan yang diputuskan.

“Ini keputusan daripada pihak atasan, kita sebagai atlet hanya mengikut arahan dan melakukan latihan bersungguh-sungguh.

“Jurulatih Zhang Yukun juga pernah mengajar saya selama dua tahun kerana sebelum ini jurulatih (Yang Zhuliang) memberi fokus kepada atlet junior,” kata Mun Yee ketika dihubungi hari ini.


MUN Yee terima keputusan ISN.

Sementara itu, juara dunia, Cheong Jun Hoong dan ratu terjun negara, Pandelela Rinong mengambil pendekatan berdiam diri mengenai keputusan ISN itu dengan membalas menerusi aplikasi WhatsApp: “Maaf, tidak ada komen mengenai perkara itu.”

Tinjauan yang dilakukan hari ini, sesi latihan skuad terjun negara berjalan seperti biasa di Pusat Akuatik Nasional sebelum diteruskan di gimnasium .

ISN hari ini mengesahkan kontrak Zhuliang yang melatih skuad terjun sejak 2008 tidak akan diperbaharui dan mengumumkan tugas itu akan dipangku sementara Zhang Yukun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 10:15 PM