ALI Rustam (tengah) kekal teraju PESAKA bagi penggal 2017-2020.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


MESYUARAT Exco Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), hari ini sebulat suara mengekalkan Tan Sri Mohd Ali Rustam untuk menerajui kepimpinan badan induk itu bagi penggal 2017-2020.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Mohd Ali mengekalkan jawatannya sejak 2009.

“Semua ahli gabungan hadir pada mesyuarat Exco hari ini dan bersetuju untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden.

“Namun, jawatan lain akan dipertandingkan mengikut sistem demokrasi,” kata Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

PESAKA dijangka mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang turut membabitkan pemilihan pucuk pimpinan yang baharu pada Februari depan serentak dengan konvensyen silat negara.

“PESAKA tidak mempunyai masalah dalaman dan memiliki kerjasama yang kuat. Lagipun, bukan mudah untuk memimpin badan sukan yang mempunyai 20 ahli gabungan.

“Kita bersyukur di bawah kepimpinan Tan Sri, kita tidak mempunyai masalah dalaman atau perbezaan pendapat. Jika ada sekalipun, ia diselesaikan dalam bilik mesyuarat. Kita menghormati kepimpinan beliau,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ali mengucapkan terima kasih kepada Exco PESAKA yang terus memberi kepercayaan kepadanya.

“Terima kasih saya ucapkan. Saya serahkan kepada Exco PESAKA untuk membuat keputusan, apabila tiba masanya nanti kita akan mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Pada mesyuarat yang sama, PESAKA turut mengumumkan untuk mewujudkan tabung kebajikan bagi membantu pesilat yang banyak berjasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 5:55 PM