Reuters

LONDON: Pasukan Formula Satu, Williams menanti sehingga tahun baru ini untuk mengumumkan siapakah pemandu yang akan bergandingan dengan pelumba remaja, Lance Stroll (gambar) dari Kanada pada musim hadapan.

Jurucakap pasukan itu mengesahkan yang tiada berita pemandu baru sebelum Januari ini, dengan musim 2018 yang akan mempertandingkan 21 perlumbaan yang bermula di Australia pada 25 Mac.

Pemandu Russia, Sergey Sirotkin muncul antara pemandu pilihan, satu-satunya kekosongan yang masih ada berbanding Robert Kubica dari Poland yang turut ingin mencuba nasib.

Williams berkata keputusan yang dibuat berdasarkan persembahan dan sudah memberi mereka gambaran tentang siapa yang berkemungkinan menggantikan pemandu Brazil, Felipe Massa yang bersara daripada perlumbaan itu.

Sirotkin, pemandu berumur 22 tahun dari program pembangunan menyertai Renault pada tahun ini, disokong hartawan Russia, Boris Rotenberg dan SMP Racing.

Abang Rotenberg, Arkady mempunyai hubungan baik dengan Presiden Russia, Vladimir Putin dan juga bekas pasangan judo beliau.

Mengetepikan soal sokongan itu, pemandu Russia itu melakukan persembahan mengagumkan pada sesi ujian selepas musim di Abu Dhabi selepas dia dipintas Renault apabila pasukan itu sedang mencari pengganti pemandu Britain, Jolyon Palmer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 3:11 PM