Donnarumma (kanan) terpaksa ditenangkan oleh Bonucci selepas diejek penyokong Milan. -Foto EPA
AFP

MILAN: Isu kontrak yang menyelubungi AC Milan dan penjaga gol muda mereka Gianluigi Donnarumma pada musim panas kembali menghantui kelab gergasi Serie A itu yang cuba memperbaiki kempen mereka musim ini.

Milan di tangga ketujuh dan ketinggalan 11 mata daripada tiket Liga Juara-Juara berkunjung ke Verona awal pagi Isnin ini, cuba meneruskan rentak dua kemenangan selepas separuh pertama kempen mereka berlangsung hambar.

Namun di sebalik kejayaan skuad Gennaro Gattuso menewaskan Bologna 2-1 hujung minggu lalu dan membelasah Verona dalam Piala Itali semalam, Donnarumma sebaliknya menjadi tumpuan media di Itali.

Hubungan antara penjaga gol berusia 18 tahun yang dianggap pengganti Gianluigi Buffon selepas penjaga gol veteran Juventus itu bersara daripada aksi antarabangsa, ejennya Mino Raiola dan kelabnya kembali menjadi tumpuan.

Awal minggu ini, laporan mendedahkan pemain itu mendakwa mengalami ‘penganiayaan etika’ pada Julai lalu apabila menandatangani kontrak baru bernilai enam juta euro (RM28.8 juta) setahun.

Akhbar Corriere Della Sera Selasa lalu mendakwa Raiola mahu kontrak itu dibatalkan kerana tekanan melampau diberikan Milan untuk menandatangani kontrak itu.

Donnarumma yang menangis terpaksa dipujuk kapten Leonardo Bonucci di bilik persalinan selepas dikeji penyokong Milan ketika pasukannya menang 3-0 ke atas Verona di San Siro dan pemain remaja itu menafikan semuanya menerusi Instagram selepas itu.

“Saya tidak pernah bercakap atau menulis saya mengalami penganiayaan etika ketika menandatangani kontrak,” katanya.

Peminat di belakang gol yang dikawal Donnarumma pada babak pertama terus mencerca dan memaparkan kain rentang yang meluahkan kemarahan mereka.

“Penganiayaan etika dengan enam juta euro setahun dan kontrak untuk seorang parasit? Pergilah, kesabaran kami sudah hilang!”

‘Parasit’ yang dimaksudkan penyokong Milan itu merujuk kepada Antonio Donnarumma, 27, abang Gianluigi yang juga bekas penjaga gol Piacenza dan Bari, produk skuad remaja Milan yang kembali dibawa masuk dari kelab Greece, Asteras Tripoli menerusi kontrak lumayan empat tahun dengan gaji sejuta euro (RM4.8 juta), sehari selepas Gianluigi menandatangani kontrak barunya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 4:19 PM