DI MARIA (kiri) jaring gol kedua PSG. -Foto AFP
AFP

PARIS: Paris Saint-Germain tidak berdepan masalah tanpa Neymar untuk menempah tiket ke suku akhir Piala Liga Perancis selepas menang 4-2 di Strasbourg, awal pagi tadi.

Kemenangan itu memastikan PSG membalas dendam kekalahan 1-2 liga kepada Strasbourg 11 hari lalu selain meneruskan pemburuan gelaran kelima Piala Liga.

Skuad kendalian Unai Emery akan bertemu Amiens dalam kelompok lapan terakhir, selepas pasukan yang baru dinaikkan pangkat itu menumpaskan Tours 2-1.

“Kami perlu mempamerkan peningkatan berbanding aksi liga dan pasukan ini lebih fokus sejak mula,” kata Emery.

“Mungkin kami boleh menghasilkan lebih banyak gol dan bermain baik selepas mendahului 4-2, tapi apa pun kami masih gembira dengan keputusan ini.”

Ketika Neymar baru kembali dari Brazil, Emery memilih untuk meletakkan Edinson Cavani sebagai penyerang tunggal ketika Kylian Mbappe diletakkan di bangku simpanan.

Empat gol PSG hasil sumbangan gol sendiri Yoann Salmier, Angel di Maria, Dani Alves dan Julian Draxler sementara Strasbourg pula menerusi Jeremy Grimm dan Jeremy Blayac.

Sementara itu, Lyon dikejutkan dengan kekalahan mengejutkan 1-4 kepada Montpellier tatkala Nice mengatasi Lille 3-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam aksi sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 1:16 PM