MEGAT Zulkarnain harap 16 pesilat bersedia dengan corak latihan keras.
Mohd Rafi Mamat
sukanteam@nstp.com.my


PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) akan meneruskan corak latihan keras terhadap 16 pesilat negara yang membawa cabaran pasukan negara pada saingan Sukan Asia 2018 Jakarta tahun hadapan.

Setiausaha Agungnya Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, corak latihan seperti itu perlu dilakukan dalam usaha memburu kejayaan seperti dilakukan pada Sukan SEA Kuala Lumpur lalu.

Menurutnya, pesilat sudah dimaklumkan corak latihan bakal diharungi sepanjang persiapan pasukan negara yang ingin mencipta kejayaan pertama di pentas Sukan Asia yang dijangka lebih mencabar.

“Saya berharap corak latihan keras dilalui secara berterusan dapat menguatkan lagi semangat serta kecergasan pesilat yang bakal berhadapan dengan beberapa jaguh luar negara.

“Kejayaan membanggakan pada Sukan SEA Kuala Lumpur apabila skuad silat negara merangkul 10 pingat emas membuktikan program terbabit berhasil dengan jayanya,” katanya dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun ada pihak kurang senang dengan corak latihan keras yang dilakukan jurulatih namun demi maruah dan impian menggunung pasukan silat negara pendekatan itu tetap dilakukan.

Megat Zulkarnain berkata, jurulatih yang dilantik juga bersetuju untuk menggunakan kaedah latihan yang hampir sama ketika pasukan negara menghadapai Sukan SEA Kuala Lumpur.

Katanya, tidak mustahil pasukan silat negara mencapai kejayaan diharapkan pada Sukan Asia 2018 sekiranya mereka mempunyai semangat serta kesungguhan yang tinggi seperti dilakukan pada Sukan SEA Kuala Lumpur.

“Seramai 16 pesilat akan mewakili negara pada Sukan Asia kali ini dan antara pesilat yang sudah disenaraikan termasuk juara dunia Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Nasir, yang diharapkan dapat mengulangi kejayaan seperti Sukan SEA,” katanya.

Beliau berkata, selain kejohanan pra Sukan Asia pada Februari tahun hadapan persiapan pasukan negara turut membabitkan latihan di luar negara yang bagaimanapun masih belum ditetapkan oleh pihak pengurusan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 9:14 PM