WILSHERE (kanan) jaring gol ketiga Arsenal. -Foto Reuters
AFP

PARIS: Jack Wilshere mencuri tumpuan ketika Arsenal membelasah BATE Borisov 6-0 dalam aksi terakhir kumpulan Liga Europa di Stadium Emirates yang separuh kosong, awal pagi tadi.

Arsene Wenger melakukan 11 pertukaran terhadap kesebelasan utama ketika tewas kepada Manchester United minggu lalu tetapi barisan kedua pengendali dari Perancis itu mempamerkan prestasi cemerlang dan menghadiahkannya kemenangan ke-700 sebagai pengurus Arsenal.

Selepas bebas daripada kecederaan, Mathieu Debuchy memulakan pesta gol Arsenal apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-11 - gol pertamanya selepas 1,082 hari - sebelum Theo Walcott meledak gol kedua.

Dua minit sebelum rehat, Wilshere menamatkan kemarau golnya selepas kali terakhir pada musim 2014-15.


WILSHERE (tengah) pamer aksi mantap ketika Arsenal meratah BATE Borisov

Gol sendiri Denis Polyakov menjadikan kedudukan 4-0 buat Arsenal sebelum Olivier Giroud mencatat jaringan keenam musim ini menerusi sepakan penalti.

Mohamed Elneny melengkapkan kemenangan Gunners apabila meledak gol keenam ketika perlawanan berbaki 16 minit.

“Ia melegakan saya (dapat menjaringkan gol). Ia hanyalah perlawanan biasa - ia tidak membawa apa-apa makna kerana kami sudah muncul juara kumpulan.

“Ia satu perlawanan yang mana anda perlu ada minda positif - kami menikmatinya. Kami gembira berjaya ke pusingan seterusnya, apa yang kami boleh lakukan adalah membuatkan pengurus pening kepala apabila kami diberi peluang,” kata Wilshere.

Arsenal menamatkan saingan Kumpulan H sebagai juara dengan kelebihan empat mata mengatasi penghuni tangga kedua, Red Star Belgrade yang turut layak ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Cologne 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 11:51 AM