SKUAD boling wanita negara peroleh tonik terbaik selepas memenangi Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas baru-baru ini.
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my


KEJAYAAN skuad boling wanita negara menamatkan penantian pingat emas selama 10 tahun dalam Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas menjadi tonik tambahan menjelang Sukan Asia di Indonesia, tahun depan.

Keyakinan itu dilontarkan ratu boling negara, Shalin Zulkifli yang menyifatkan kejayaan di Amerika Syarikat itu mampu diulangi sekali gus melakar kejayaan bersejarah di rantau Asia.

“Sasaran kami selepas ini sememangnya Sukan Asia.

“Selepas berjaya menewaskan Singapura pada Kejohanan Dunia, kami lebih positif untuk meneruskan prestasi yang lebih baik di Sukan Asia nanti,” kata Shalin ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Shalin yang kelihatan beremosi memaklumkan yang dia begitu merindui keluarga namun pada masa sama berasakan dirinya amat beruntung kerana suaminya, Azidi Ameran sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

Bercakap mengenai pencapaian pasukan tahun ini, Shalin berkata dia berpuas hati dengan pencapaian pasukan apatah lagi berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam dua kejohanan besar iaitu Sukan SEA Kuala Lumpur dan Kejohanan Dunia.

Skuad negara bakal menggalas cabaran pada Kejohanan Boling Profesional di Korea Selatan minggu depan sebagai kejohanan terakhir tahun ini. Untuk persiapan Sukan Asia, skuad negara dijadual menyertai kejohanan di Sweden dan Finland awal tahun depan, Cabaran Eropah (Mac) serta beberapa kejohanan antarabangsa lain.

Skuad negara terdiri daripada Shalin, Siti Safiyah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan meraih pingat emas dalam acara berpasukan wanita. Tiga pingat perak disumbangkan oleh Shalin dan Lin Jane (beregu wanita), Li Jane (masters wanita) dan Siti Safiyah (keseluruhan wanita).

Kejayaan pingat emas itu adalah kali ketiga buat pasukan negara selepas Kejohanan Dunia di Monterrey, Mexico pada 2007 dan edisi di Kuala Lumpur pada 2003.

Selain skuad emas berkenaan, Malaysia turut mempertaruhkan pasukan lelaki yang terdiri daripada Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan, Alex Liew, Timmy Tan dan Adrian Ang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 10:18 PM