RAFIQ harap dapat bangkit selepas kecewa di Jelajah PBA.
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my


PEMAIN bowling kebangsaan, Rafiq Ismail tidak keberatan untuk menceritakan soal kekecewaannya di Kejohanan Bowling Dunia yang berlangsung di Las Vegas, baru-baru ini.

Selepas cemerlang di Jelajah Persatuan Pemain Bowling Profesional (PBA) awal bulan lalu di Reno, Nevada, Rafiq berada dalam situasi yang jauh berbeza apabila dia dan rakan-rakannya berada di Vegas untuk mengharungi Kejohanan Bowling Dunia.

Ketika skuad wanita pulang dengan satu emas dan tiga perak, nasib berbeza dialami skuad lelaki yang pulang dengan tangan kosong.

“Ia memang mengecewakan kerana saya berharap dapat meneruskan rentak cemerlang di Jelajah PBA ke Kejohanan Dunia.

“Ketika beraksi di acara perseorangan lelaki, saya sedar bahawa ia bukan mudah kerana corak sapuan minyak yang berbeza. Bagaimanapun, saya percaya keadaan itu akan bertambah baik dan memudahkan saya untuk memenangi pingat apatah lagi saya tidak pernah menang apa-apa di Kejohanan Dunia pertama yang disertai beberapa tahun lalu. Tetapi malangnya, ia tidak menjadi.

“Ia sangat menyedihkan. Saya harap dapat bangkit untuk menamatkan tahun ini dengan gemilang,” kata pemain kidal itu ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Selain Rafiq, pemain lain yang turut berada di KLIA ialah Ahmad Muaz Fishol (kelima acara all-event lelaki), Alex Liew, Adrian Ang, Timmy Tan dan Syafiq Ridhwan.

Sebelum ke Jelajah PBA dan Kejohanan Dunia, Rafiq mencatat kejayaan membanggakan apabila memenangi Terbuka Singapura (Jun) diikuti tiga emas serta satu perak di temasya Sukan SEA (KL2107), Ogos lalu.

Pemain berusia 20 tahun itu akan menyertai Pusingan Akhir Masters Antarabangsa Milo hujung minggu ini sebelum berlepas ke Korea Selatan pertengahan bulan ini bersama-sama rakan sepasukan, Shalin Zulkifli, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Timmy Tan.

“Selain catatan di Kejohanan Dunia, keputusan yang saya capai tahun ini boleh dianggap sebagai yang terbaik. Saya memenangi beberapa emas di Sukan SEA, tampil di Jelajah PBA dan turut beraksi dalam pasukan Pilihan Dunia menentang Amerika Syarikat.

“Saya tidak pasti perancangan kami tahun depan. Itulah sebabnya mengapa saya mahu menamatkan tahun ini dengan cemerlang.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 9:34 PM