BEREGU gandingan Peng Soon (kiri) dan Yee See beraksi di KL2017.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Tiga kejuaraan, tiga kali naib juara dan tujuh kali separuh akhir dari skuad beregu campuran masih belum memuaskan hati ketua jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui untuk rumusan sepanjang 2017 membabitkan enam pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chan Peng Soon-Cheah Yee See, Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai, Chen Tang Jie-Liu Ying dan Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei.

Menurut Eei Hui, walaupun ada yang mengatakan bahawa keputusan membabitkan pemain beregu campuran tahun ini sangat bagus tapi beliau menafikan perkara berkenaan dan merumuskan bahawa prestasi anak buahnya ada naik dan turun.

“Masih tidak konsisten, kadang-kadang bagus dan kadang-kadang tidak. Bagaimanapun, saya harap selepas ini (tahun depan) mereka boleh mencatatkan keputusan lebih bagus,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Tiga kejuaraan musim ini disumbangkan Kian Meng-Lai Pei Jing di Masters Malaysia, manakala gandingan senior dan pelapis, Peng Soon-Yee See, Tang Jie-Liu Ying muncul juara Terbuka Russia serta Siri Antarabangsa India.

“Tahun ini saya paling gembira ialah pencapaian Soon Huat-Shevon, kerana mereka sudah menunjukkan peningkatan dari segi taktikal dan teknikal. Kian Meng-Pei Jing ada naik dan turun, mereka tidak konsisten serta tidak tahu bagaimana untuk menggunakan taktikal lebih baik.

“Saya harap mereka (Kian Meng-Pei Jing) mampu buat lebih bagus tahun depan. Peng Soon pula menjalankan tugasnya dengan baik untuk membimbing Yee See. Kita tidak boleh menilai keputusan perlawanan mereka kerana Yee See masih lagi muda,” katanya.

Peng Soon-Liu Ying akan kembali digandingkan semula tahun depan dan Eei Hui, mahu mereka beraksi tanpa sebarang tekanan dalam bulan Januari dan Februari depan.

“Ini disebabkan Liu Ying masih lagi belum sembuh 100 peratus, kita tidak mahu terus berikan tekanan kepadanya untuk bermain bermati-matian nanti kecederaanya kembali semula,” katanya.

Empat pemain pelapis, Pang Ron, Tang Jie, Yen Wei dan Yee See akan cuba digandingkan untuk kejohanan pada Januari dan Februari ini namun Eei Hui masih belum menetapkan gandingan berkenaan.

Skuad beregu campuran juga berjaya meraih satu perak melalui Soon Huat-Shevon dan satu gangsa dari Peng Soon-Yee See di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 9:02 AM