JONG Hyun penjaring terbanyak MHL musim lalu.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


KELAB Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dilihat serius untuk mempertahankan kejuaraan Liga Premier, Liga Hoki Malaysia (MHL) pada musim baru bermula Januari depan apabila berjaya mendapatkan penjaring terbanyak musim lalu, Jang Jong Hyun dari Korea Selatan.

Jong Hyun, pakar pukulan sudut penalti yang beraksi selama dua musim dengan juara Piala TNB, Terengganu Hockey Team (THT), meledak 28 gol musim ini.

Perkembangan terbaru itu sekali gus menyaksikan saingan musim depan cukup menarik selepas THT berjaya mendapatkan khidmat pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat.

Pengurus pasukan KLHC, Ahmad Anuar Sham Kamar yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya sememangnya sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Korea Selatan itu.

“Sebelum ini dia terikat kontrak dengan THT dan lagi pun dia berasa seronok bersama kelab itu.

“Jadi kami tidak mahu mengganggunya. Tapi apabila dapat perkhabaran THT mahu mendapatkan Peillat, kami rasa peluang untuk mendapatkan Jong Hyun lebih cerah,” katanya.

Jelas Ahmad, bukan meragui kemampuan barisan pemain sedia ada seperti Muhammad Razie Abdul Rahim yang juga bertatus pakar pukulan sudut penalti, namun kehadiran Jong Hyun adalah untuk memberi suntikan tambahan di dalam pasukan.

“Kemampuan Razie tak perlu diragui. Dia boleh menjaringkan gol di dalam setiap perlawanan.

“Cuma kami mahu menambah kekuatan di dalam pasukan.

“Anda pun tahu persaingan antara kami dengan pasukan lain terutama THT sangat seimbang. Jadi kami perlu melakukan persiapan yang rapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 5:40 PM