ROSLAN (kanan) percaya kehadiran pemain import mampu naikkan prestij liga. -Foto fail
Naqib Nor Said
naqib@nstp.com.my


PENJAGA gol Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Roslan Jamaluddin percaya kehadiran import yang berkualiti pada kancah Liga Premier 2018 bukan saja mampu menaikkan prestij liga tetapi juga akan membantu meningkatkan prestasi pemain tempatan.

Ini berikutan kejayaan beberapa pasukan utama menyambar import bertaraf dunia bagi saingan musim depan selepas beberapa tahun kebelakangan ini hanya dibanjiri pemain daripada Pakistan dan Korea Selatan.

Bermula dengan UniKL yang setakat ini berjaya memancing benteng pertahanan Belanda, Sander de Wijn dan penjaga gol Ireland, David Harte, KLHC pula difahamkan bakal mengikat pemain utama dari Australia dan Korea Selatan.

Terbaru, Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengesahkan mendapatkan khidmat empat pemain Argentina yang diketuai pakar pukulan sudut penalti, Gonzalo Peillat dan Joaquin Manini bagi menghadapi cabaran Liga Premier 2018.

Jadi, tidak menghairankan apabila setiap pasukan meletakkan sasaran untuk mendakap kejuaraan liga pada musim depan bagi mengimbangi pelaburan besar yang dilakukan itu.

Tetapi bagi Roslan yang juga bekas penjaga gol negara, lambakan import berkualiti pada musim depan sebagai peluang keemasan untuk pemain tempatan mempelajari ‘perkara baharu’.

“Bagi saya ia benda yang bagus apabila ramai import berkualiti turun ke Malaysia kerana kehadiran mereka ini mampu meningkatkan kualiti permainan liga hoki tempatan.

“Sebagai contoh, kehadiran Gonzalo Peillat di THT secara tak langsung menyediakan peluang untuk penjaga gol muda negara seperti Hafizuddin Othman menganalisa kekuatan pukulan sudut penaltinya sekali gus digunakan pada aksi antarabangsa.”

Mengimbas kembali kempen 2001, Roslan yang ketika itu mewakili Bank Simpanan Nasional (BSN) mengakui dia berjaya memanfaatkan peluang beraksi satu pasukan bersama legenda yang juga pakar pukulan sudut penalti dunia, Sohail Abbas dari Pakistan.

“Setiap hari saya akan ‘mencuri’ tips teknik pukulan dilakukannya,” katanya sambil menjelaskan belum mengetahui perancangan KLHC dalam mendapatkan tenaga import untuk kempen 2018.

Sebagai rekod, THT muncul juara berganda musim lalu apabila menyambar Piala TNB dan Piala Tan Sri P Alagendra sementara KLHC menjulang Piala Liga dan Piala Sumbangsih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 3:48 PM