PEMAIN FELDA pasti kecewa dengan sikap pengurusan FELDA yang tidak dapat melengkapkan dokumen membabitkan penyata kewangan pasukan.
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


KEGAGALAN FELDA United melengkapkan dokumen membabitkan penyata kewangan pasukan menyaksikan skuad itu menerima hukuman berat apabila diturunkan pangkat beraksi ke Liga Perdana bagi saingan musim hadapan.

Keputusan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam yang menjelaskan skuad ‘The Fighters’ itu tidak dibenarkan untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2018 kerana gagal memperolehi lesen untuk bertanding di liga elit bola sepak negara ini.

Katanya, walaupun mereka ada mengemukakan rayuan untuk mendapatkan lesen sepanjang tempoh ditetapkan, namun FELDA tetap gagal untuk menyerahkan dokumen yang lengkap sekali gus memaksa FMLLP mengambil keputusan sedemikian.

“Isu ini sudah dipertimbangkan dengan serius, namun keputusan diambil selepas lembaga pengarah mendapati FELDA United tidak dapat mengemukakan dokumen yang diperlukan dalam tempoh masa seperti yang ditetapkan.

“Jika pemotongan mata dan larangan mendaftarkan pemain baharu tidak belum cukup lagi, saya kira ini langkah yang sepatutnya bagi memastikan semua pengurusan dapat mengemaskini segala maklumat dan tidak memandang ringan perkara penting sebegini.

“Jadi, saya mengharapkan perkara ini menjadi pengajaran kepada pasukan yang lain. Sudah tiba masanya untuk semua pasukan serius terhadap apa yang perlu mereka lakukan bagi memenuhi syarat pelesenan kelab,” katanya pada sidang media di pejabat FMLLP, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kevin turut mengesahkan pihaknya menerima permohonan Persatuan Bolasepak Terengganu (PBSNT) untuk menjadikan pasukan T-Team (TFC II) sebagai pasukan ‘feeder’ atau kelab pemangkin kepada pasukan utama Terengganu (TFC I).

“Permohonan PBSNT membabitkan perkara ini diluluskan dengan sedikit syarat, di mana TFC I perlu mengemukakan sedikit dokumen yang saya pasti mereka tidak berdepan masalah untuk melengkapkannya.

“Permohonan PBSNT adalah untuk menstrukturkan kembali bola sepak negeri itu dengan menjadikan TFC II sebagai ‘feeder club’, jadi FMLLP memutuskan TFC II akan beraksi dalam Liga Perdana bermula musim hadapan.

“Jadi tertakluk kepada syarat yang ditetapkan kepada ‘feeder club’, TFC II tidak boleh bertanding dalam pertandingan yang sama dengan Terengganu termasuklah Piala Malaysia dan juga Piala FA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 6:04 PM