HARRIF (tiga dari kiri) kecewa dengan pencapaiannya tahun ini. -Foto fail
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PAKAR pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh mengakui dia mengharungi musim agak mengecewakan tahun ini walaupun memenangi emas Sukan SEA 2017 pada Ogos lalu.

Jelasnya, beberapa perancangan dan percaturannya tidak menjadi sejak awal tahun ini sekali gus menyaksikan dia hanya memenangi satu peringkat perlumbaan (peringkat lima Jelajah Malaysia) selain dua kali kedudukan kedua pada Tour of Thailand pada peringkat ketiga (Phitsanulok-Uttaradit) dan keempat (Uttaradit-Sukhothai).

Manakala bagi saingan jersi, kedudukan terbaik adalah kelapan pada Jelajah Malaysia dan Tour of Thailand menerusi kategori pecut.

“Memang agak kecewa pada tahun ini. Walaupun berjaya memenangi emas menerusi acara kriterium di Sukan SEA, saya tidak mampu mempertahankan satu lagi emas dalam acara lepas beramai-ramai.

“Bagaimanapun ia adalah kenangan manis dan positif bagi saya tahun ini kerana sememangnya fokus adalah bagi membantu negara muncul juara keseluruhan temasya dwi tahunan itu.

Menurutnya, sejak awal perancangannya ialah untuk menyerlah pada Le Tour de Langkawi (LTdL) Februari lalu apabila TSG mengadakan kem latihan di Australia namun tidak kesampaian apabila dia mengalami kemalangan seawal peringkat kedua.

“Ia disusuli hampir terlepas peluang menyertai Sukan SEA selepas terjatuh pada Tour de Korea sehingga mengalami keretakan di pinggul,” katanya.

Sepanjang 2017, Harrif memulakan Jelajah Asia dengan menyertai LTdL disusuli Tour of Thailand (April), Tour de Korea (Jun), Tour de Hokkaido (September), Tour of China II (September) dan Jelajah Malaysia.

“Mengikut perancangan saya akan menyertai Tour of Malaysia yang dijadualkan awal bulan ini namun ditangguhkan. Harapan saya memang untuk menutup tahun ini dengan kejayaan pada perlumbaan itu kerana membabitkan laluan landai.

“Sebagai pelumba profesional, saya menerimanya sebagai “asam garam” dan tidak menjadikannya sebagai halangan atau alasan untuk mempamerkan persembahan lebih baik pada musim depan. Saya juga sudah melanjutkan kontrak bersama TSG pada 2018 dan berharap mampu lebih cemerlang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 2:09 PM