AHMAD Razif (kanan) mengumumkan penjenamaan semula pasukan bola sepak negeri yang akan diberi nama TFC I, TFC II, TFC III dan TFC IV. -Foto fail
Faizul Azlan Razak
sukanteam@nstp.com.my


PERSATUAN Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan bahawa pihaknya sedang berusaha menyelesaikan dokumen yang diminta Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pihaknya kini dalam proses menyelesaikan isu-isu teknikal membabitkan penstrukturan pasukan.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan sebaik mungkin sebelum menyerahkan dokumen seperti yang diminta FMLLP.

“Kita akur dengan syarat yang perlu dikemukakan PBSNT dan akan cuba selesaikan serta serahkan dokumen kepada FMLLP.

“Kita akan cuba menyelesaikan isu-isu teknikal dalam penggabungan pasukan Terengganu dan T-Team di bawah satu pentadbiran serta pembentukan Terengganu FC II (TFC II) sebagai pasukan sokongan negeri musim depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam mengesahkan permohonan PBSNT untuk melakukan penstrukturan semula TFC II dengan menjadikan kelab berkenaan sebagai pasukan sokongan negeri sudah diluluskan secara bersyarat.

Kevin berkata, TFC II perlu mengemukakan dokumen kepada pihaknya berhubung soal penstrukturan pasukan.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu yang juga Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan penjenamaan semula pasukan bola sepak negeri yang diberi nama Terengganu FC I (TFC I) beraksi di Liga Super, TFC II (Liga Perdana), TFC III (Piala Presiden) dan TFC IV (Piala Belia).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 9:21 PM