AL JUFFERI (kiri) dan Siti Rahmah prospek utama negara. -Foto fail
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my


OLAHRAGAWAN Kebangsaan 2015, Mohd Al Jufferi Jamari dan Olahragawati Kebangsaan 2016, Siti Rahmah Mohamed Nasir bakal memikul tugas besar untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara di Sukan Asia Indonesia tahun depan.

Selaku antara pesilat negara yang berada dalam Program Podium 2018, Al Jufferi dan Siti Rahmah jelas menjadi prospek utama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) bagi meraih pingat emas pada penyertaan sulung sukan silat di temasya terbesar Asia itu.

Berdasarkan pengamatan pengurus Besar PESAKA, Datuk Osman Nok, pencapaian kedua-dua pesilat itu di peringkat tempatan mahupun antarabangsa jelas luar biasa dan sukar ditandingi.

“Secara logiknya, sudah pasti Jufferi dan Siti Rahmah kita sasarkan mereka (meraih emas) dan mungkin akan ada satu ataupun dua lagi daripada pesilat lain,” kata Osman ketika dihubungi.

“Jadi, dua ataupun tiga (emas) sudah pasti namun ia bukanlah sasaran sebenar yang diletakkan. Apapun, secara logiknya kita mampu.”

Di atas kertas, Al Jufferi dan Siti Rahmah masing-masing menghadiahkan kilauan emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) sekali gus merekodkan pencapaian terbaik skuad silat negara sepanjang penyertaan di peringkat Asia Tenggara dengan 10 emas.

Dan minggu lalu, pasukan silat negara yang diketuai Al Jufferi menutup tirai kejohanan 2017 di Terbuka Belanda dengan meraih empat emas dan satu gangsa.

“Tahun ini, pencapaian pasukan silat lebih cemerlang berdasarkan pencapaian di Sukan SEA dan tahun ini pesilat kita, Siti Rahmah juga diangkat selaku Olahragawati 2016 selepas Al-Jufferi meraihnya pada 2015.

“Ia satu pencapaian terbaik buat kami selepas berusaha gigih selama ini. Jadi untuk tempoh sembilan bulan ini, kami perlu kekalkan momentum yang ada. Biarpun mungkin tidak meraih 10 emas seperti di Sukan SEA tetapi dua ataupun tiga (emas) di Sukan Asia nanti...itupun sudah memadai.

“Apapun, kami harus kekalkan pencapaian yang ada ketika ini dan terus berusaha dengan lebih gigih lagi,” kata Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 6:24 PM