CONTE (kanan) mahu Hazard main peranan utama. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pengendali Chelsea Antonio Conte mencabar Eden Hazard untuk memainkan peranan utama dalam usaha penyandang juara itu merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester City apabila berdepan Swansea City awal pagi Khamis ini.

Selepas sekadar seri 1-1 di Liverpool Sabtu lalu, Chelsea kini ketinggalan 11 mata di belakang skuad kendalian Pep Guardiola.

Jika skuad bimbingan Conte mahu terus berpeluang untuk mengejar City, mereka perlu mencatat deretan kemenangan luar biasa yang melonjak mereka menjadi juara musim lalu.


HAZARD (kanan) melepasi asakan daripada pemain Liverpool, Alberto Moreno dan Jordan Henderson. FOTO/REUTERS

Kunci kepada harapan Chelsea mengulangi pecutan juara itu terletak pada perancang Belgium, Hazard yang dilihat sudah kembali menemui rentak asalnya selepas dibelenggu kecederaan pada awal musim.

Hazard cemerlang bergandingan dengan Alvaro Morata di Anfield dan Liverpool tampak bergelut untuk mengekang kelicikannya.

Pemain 26 tahun itu sering turun ke bahagian tengah untuk mengawal permainan dan Conte merasakan keupayaannya bermain di beberapa posisi memberikan dimensi baru buat Chelsea.

“Permulaan musim ini penuh dugaan buat Eden apabila dia mengalami kecederaan bersama pasukan kebangsaan dan kami memulakan musim tanpanya,” kata Conte.


PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah (kiri) berkata sesuatu kepada Harzard. FOTO/AFP

“Sekarang saya rasa Eden berada pada prestasi terbaik dan pada pendapat saya, dia juga menyukai peranannya sebagai penyerang. Gandingan dengan Alvaro cukup baik dan saya rasa ia peluang terbaik untuk bermain dengan dua sistem berbeza.”

Chelsea dijangka tidak bermasalah mengutip tiga mata penuh daripada Swansea kendalian Paul Clement, yang hadir ke Stamford Bridge sebagai pasukan di tangga kedua tercorot selepas mengharungi lima perlawanan terakhir tanpa kemenangan.

“Bukan rahsia lagi yang pasukan kini hilang keyakinan, tetapi semangat juang tetap tinggi dan kami bermain dengan baik,” kata Clement. “Saya jangka kami akan berada di posisi lebih baik daripada sekarang.”


HAZARD (kiri) melepas rembatan ketika Chelsea menentang Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 12:18 PM