PEMAIN Valencia meraikan kemenangan menentang Espanyol minggu lalu. -Foto AFP
AFP

MADRID: Kedua-dua kelab belum kalah dan melakar rekod permulaan dalam kempen La Liga, Valencia menanti kunjungan Barcelona dalam perlawanan terbaik musim La Liga Sepanyol setakat ini awal pagi Isnin ini dengan sasaran untuk membuktikan keupayaan mereka memburu kejuaraan.

Selepas dua musim hambar dibayangi pertukaran jurulatih dan persoalan mengenai pemilik dari Singapura, Peter Lim mengendalikan kelab itu, Valencia sudah bangkit dengan kombinasi bos baru Marcelino Garcia Toral dan pengarah sukan Mateu Alemany untuk mencatat rekod lapan kemenangan berturut-turut dalam La Liga.

Mereka bagaimanapun ketinggalan empat mata di belakang Barca di puncak carta ketika kelab Catalunya itu mengumpul 34 mata daripada maksimum 36.

“Hakikatnya pasukan ini berubah sama sekali. Bukan hanya tahap permainan tapi juga mentaliti kami. Itulah yang diterapkan jurulatih dan ia banyak membantu kami,” kata penjaring gol terbanyak Valencia, Simone Zaza, yang turut bangkit selepas beraksi buruk ketika dipinjamkan di West Ham musim lalu.

Berbanding beberapa tahun kebelakangan yang mana pembelian Peter dipersoalkan kerana hubungan akrabnya dengan ejen terkenal Portugal, Jorge Mendes, majoriti tujuh pemain baru Valencia menyerlah.

Bekas penyerang Valencia dan Barcelona, David Villa turut tidak ragu-ragu Marcelino mampu membuat impak segera.

“Saya tidak terkejut dengan catatan Marcelino,” kata Villa, kini beraksi dengan New York City.

“Kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak pembabitan pertamanya sebagai ketua jurulatih di Sporting Gijon B. Sebaik beliau menyertai Valencia, saya amat yakin beliau akan mengubah pasukan dan hala tuju kelab dengan keputusan positif.”

Marcelino terpaksa menonton dari bangku penonton bagi aksi awal pagi Isnin ini selepas diarah keluar padang ketika menang 2-0 ke atas Espanyol hujung minggu lalu dan beliau cuba mengalahkan Barcelona buat kali pertama sebagai pengurus dalam 15 percubaan.

Untuk melakukannya, Valencia perlu merobek benteng Barcelona yang diperkuatkan penjaga gol Marc-Andre ter Stegen yang mencatat 13 perlawanan tanpa dibolosi dalam 18 aksi musim ini.

Kedua-duanya 10 mata di belakang Barca, Real dan Atletico boleh merapatkan jurang berbanding pasukan teratas awal pagi Ahad ini apabila masing-masing berdepan Malaga dan Levante.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 12:07 PM