FATIN gembira acara memanah compound tersenarai dalam Sukan Asia.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

BARISAN pemanah compound negara teruja dengan perkembangan terbaru apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan acara itu kembali disenaraikan di Sukan Asia 2018.

Pemanah wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh berkata, keputusan itu menggembirakannya selepas menjangkakan mereka tidak akan menyertai saingan terbesar benua itu.

“Saya gembira namun untuk bercakap mengenai pingat, saya fikir masih terlalu awal untuk membuat ramalan kerana masih belum sebarang kontrak atau program. Kita juga tidak mengetahui siapa yang akan terpilih.

“Mungkin selepas itu, kita boleh memasang strategi untuk mencapai keputusan yang positif atau meraih pingat nanti,” jelas pemanah utama negara itu.

Pemanah ranking ke-23 dunia berkenaan pernah melakar kejayaan meraih emas dalam acara berpasukan pada siri Piala Dunia Shanghai pada 2015 bersama-sama Nor Rizah Ishak dan Saritha Cham Nong.

Zulfadhli Ruslan yang meraih emas acara berpasukan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berharap, program bagi skuad compound negara dapat dipercepatkan bagi membolehkan mereka membuat persiapan rapi.

“Sekurang-kurangnya kami sudah mempunyai matlamat utama untuk tahun depan berbanding sebelum ini. Setakat ini saya tidak berfikir ke arah memenangi pingat kerana sudah lama kami ‘bercuti’,” jelas pemenang emas acara individu siri Piala Asia di Taiwan pada 2016 itu.

Semalam, Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia 2018 (INASGOC) menerusi buletin yang dihantar ke MOM, menjelaskan Majlis Olimpik Asia (OCA) bersama INASGOC bersetuju menambah tiga acara memanah compound dan empat acara sport climbing.

Menurut Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, memanah compound akan mempertandingkan acara berpasukan lelaki dan wanita serta campuran bersama-sama lima acara recurve.

Pada masa sama, OCA dan INASGOC menggugurkan tiga acara BMX (gaya bebas) kerana masalah gelanggang selain masing-masing satu acara membabitkan jujitsu, kurash, sambo dan wushu.

Bagaimanapun menurut buletin berkenaan, Indonesia kekal menganjurkan 40 sukan yang mempertandingkan 462 acara seperti yang diputuskan pada mesyuarat OCA, September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 5:17 PM