SHALIN (kiri) bersama Danielle selepas tamat perlawanan.
Ajitpal Singh
ajitpalsingh@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Shalin Zulkifli kini menduduki ranking ketiga dunia dalam kalangan pemain boling wanita.

Atlet 39 tahun itu muncul pemain wanita pertama negara layak ke Final Jelajah Boling Dunia (WBT) tetapi perjalanannya berakhir apabila dia tewas 231-244 di tangan pemain Amerika Syarikat Danielle McEwan pada pusingan pertama final stepladder untuk menamatkan saingan di tempat ketiga di Stadium Boling Nasional di Reno, Nevada semalam.

Shalin meraih slot terakhir ke Final WBT selepas menduduki tangga ketiga dengan 112 mata, manakala Danielle kedua dengan 142 mata dan Dania Zavjalova dari Latvia teratas pada 169 mata.

Shalin, pemenang pingat emas Sukan SEA dan Sukan Asia, bergelut mendapatkan deretan strike ketika pertemuan stepladder menentang Danielle.

Pemain Amerika Syarikat itu melakukan lima strike dalam tujuh frame pertama untuk mendahului Shalin dengan kelebihan 24 pin sebelum memastikan kemenangan.

Zavjalova menafikan pemburuan hatrik Final WBT buat Danielle dengan kemenangan tipis 235-232 sekali gus membawa pulang AS$12,500 (RM52,000). Danielle dan Shalin masing-masing meraih AS$7,500 (RM31,000) dan AS$5,000 (RM21,000).

Shalin bagaimanapun tidak patah semangat dengan kekalahan itu sebaliknya menganggap persembahannya di Final WBT sebagai perangsang buatnya menjelang Kejuaraan Dunia di Las Vegas.

“Ia mengecewakan kerana saya gagal melakukan strike di lorong sebelah kanan. Kesemua empat strike saya terhasil di lorong kiri,” kata Shalin. “Saya cuba sebaik mungkin dan hanya tewas beberapa pin. Ia masih keputusan yang baik.

“Perasaannya cukup hebat apabila dapat bermain dalam perlawanan yang ditayangkan di televisyen di Amerika Syarikat, saya sukakan suasana di sini.” Shalin sebelum ini turut mara ke final pada Terbuka Amerika Syarikat edisi 2008 dan 2009.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Holloway Cheah berkata: “Shalin secara rasminya adalah pemain boling wanita ketiga terbaik dunia dan saya amat bangga dengannya.

“Dia masih hebat dan saya harap dia akan terus memberik impak untuk Malaysia.” Shalin kini dalam persiapan menghadapi Kejuaraan Dunia yang bermula Jumaat ini.

Untuk rekod, Shalin sudah memenangi 10 pingat dalam kejohanan dunia, termasuk dua pingat emas berpasukan di Kuala Lumpur 2003 dan Mexico 2007.

Shalin akan berangkat ke Las Vegas bersama-sama Alex Liew, Adrian Ang, Rafiq Ismail, Timmy Tan dan Syafiq Ridhwan Abdul Malek, yang baru saja menamatkan kempen Siri Dunia Boling PBA.

Mereka akan menyertai enam lagi rakan sepasukan - Ahmad Muaz Fishol, Sin Li Jane, Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Natasha Roslan dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, yang sudah tiba di Las Vegas minggu lalu bagi mempersiapkan diri untuk acara besar terakhir musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 11:06 PM