POGBA (kanan) jaring gol ketiga United ketika menentang Newcastle. -Foto Reuters
AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menyifatkan Paul Pogba berada pada kelas tersendiri selepas pemain tengah Perancis itu menjadi watak penting ketika membantu pasukannya menewaskan Newcastle United 4-1, dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Pemain berusia 24 tahun itu yang kembali diturunkan selepas dua bulan diketepikan susulan masalah kecederaan menjaringkan gol dan mencipta peluang dengan United kekal di tangga kedua liga, lapan mata di belakang pendahulu, Manchester City.

“Paul Pogba adalah kelas yang berbeza. Paul dan Nemanja Matic membesar bersama pada awal musim dan menjadi enjin kepada pasukan,” kata Mourinho.

Mourinho berkata, dia menyerahkan kepada Pogba untuk membuat keputusan berapa lama dia mahu beraksi di atas padang selepas kembali diturunkan dan akhirnya dia dibawa keluar pada babak kedua.

“Ia terpulang kepada Paul, berapa lama dia mahu bermain sehinggalah dia berasa penat. Ia adalah prestasi yang menakjubkan daripada Paul,” katanya.


PEMAIN United meraikan jaringan Pogba (tengah). -Foto Reuters

Pogba berkata, United hanya akan meningkat dengan kehadirannya dan penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic.

United turut mendapat motivasi terbaik apabila tonggak pertahanan Argentina, Marcos Rojo - yang terpaksa diketepikan sejak April lalu kerana kecederaan lutut - kembali berada di bangku simpanan.

“Kami menang, kami mengumpul tiga mata dan itu yang paling penting. Saya, Zlatan Ibrahimovic dan Marcos Rojo sudah pulih daripada kecederaan, jadi kami gembira.

“Saya lihat pasukan yang sama, dan merasai suasana yang sama. Saingan musim ini masih panjang, ia bukan mengenai sekarang tetapi ia mengenai penghujung saingan.

“Ia sesuatu yang mengecewakan apabila kamu tidak boleh beraksi, kamu mahu membantu pasukan tetapi kamu hanya fokus kepada proses pemulihan,” kata Pogba.

Ibrahimovic yang masuk ketika perlawanan berbaki 13 minit berkata, dia tidak mahu terburu-buru memandangkan ia adalah penampilan pertamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 12:51 PM