PESILAT negara sedang gigih berlatih menghadapi Sukan Asia di Indonesia.
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my


SELEPAS melakar kejayaan di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), pasukan silat negara kini mengalihkan tumpuan kepada Sukan Asia, Ogos depan meskipun sedar tuan rumah Indonesia pastinya menjadikan sukan subjektif itu sebagai ‘lubuk emas’ mereka.

Skuad silat negara membolot 10 pingat emas di KL2017 dan ketika julung kalinya silat dipertandingkan di peringkat temasya terbesar Asia nanti, pesilat negara tentunya sudah ‘masak’ dengan provokasi yang bakal diterima mereka setiap kali bertembung seterunya itu.

Namun, kesemua itu jelas bukan halangan utama buat pasukan silat negara untuk mencipta sejarah meraih emas sulung di pentas Asia di Jakarta nanti dan persediaan latihan sudah pun direncanakan ketika temasya hanya berbaki sembilan bulan saja lagi.

“Kita tidak akan menolak kemungkinan (provokasi dan teknikal), di media sosial... biarpun tidak ada yang rasmi dari pesilat Indonesia, namun ada yang mengatakan mereka menunggu kita di Jakarta.

“Apapun, kita tiada masalah dan sudah bersedia untuk mengambil bahagian,” kata Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

“Sebagai pengarah teknikal di Sukan SEA lalu, kita hanya menerima beberapa protes saja dan kita harap di Indonesia nanti, penekanan sama turut diambil.

“Kita harus memikirkan bagaimana nak dapatkan pertandingan yang terbaik, supaya tidak ada masalah lagi di Sukan Asia yang berikutnya (selepas Indonesia).

“Saya dapat jangkakan suasana yang hebat ketika pertandingan nanti, kerana venue adalah di gerbang persilatan mereka. Venue ini mempunyai kapasiti dari 5,000 hingga 7,000 tempat duduk dan difahamkan mereka dapat kebenaran untuk menambahnya lagi.

“Ini kerana, silat adalah lubuk emas buat Indonesia, jadi atlet kita kena bersedia 300 peratus, mereka tidak ada sukan lain yang boleh diharapkan untuk mendapatkan pingat.

“Jadi sudah tentu setiap kali Malaysia bertemu Indonesia, pertarungan akan menjadi ‘panas’.”

Sementara itu, Megat Zulkarnain menegaskan, satu kerangka latihan yang hampir sama agresif seperti diharungi pasukan silat sebelum KL2017 mungkin akan digunakan, apatah lagi ia sudah membuahkan hasil di Kuala Lumpur, dua bulan lalu.

“Lupakan latihan di Sukan SEA dan mulakan latihan baharu dan kita ada beberapa bulan saja ke Sukan Asia,” kata Megat Zulkarnain.

“Kita akan gunakan pendekatan hampir sama. Kita ada kerja lebih besar tetapi kita akan susun dengan baik. Kita tak risau negara lain dan kita akan hantar pasukan yang cukup kuat.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 2:35 PM