Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my

PERJUANGAN Rafiq Ismail (gambar) di Kejohanan Cheetah Persatuan Bowling Profesional (PBA) berakhir selepas kandas di pusingan pertama match play, semalam.

Atlet negara berusia 20 tahun itu yang beraksi dalam lima permainan di Stadium Bowling Nasional, Nevada, tewas kepada wakil Australia, Jason Belmonte 235-203, 259-256, 269-225, 238-218.

Mengulas kekalahannya itu, Rafiq yang turut beraksi pada Kejohanan Dunia PBA awal minggu ini berkata: “Ia adalah sesuatu yang normal kerana sememangnya sukar beraksi di pusingan match play.

“Permainan begitu pantas. Setiap strike dikira tetapi malangnya untuk saya tidak dapat beraksi dengan baik.”

Ditanya pencapaian keseluruhannya di Jelajah Bowling Siri Dunia PBA, Rafiq berkata:

“Ia adalah satu pengalaman yang cukup bermakna untuk saya terutamanya apabila dapat beraksi dengan barisan pemain utama.

“Dapat melangkah ke kelompok 16 terbaik di Kejohanan Cheetah PBA dan layak ke Kejohanan Dunia PBA adalah satu pencapaian yang besar untuk saya.”

Rafiq melengkapkan kempennya di Jelajah PBA apabila beraksi bersama pasukan Rest of the World bertemu Amerika Syarikat (AS), hari ini.

“Dapat beraksi bersama Belmonte, Jesper Svesson (Sweden), Dominic Barrett (England) dan Thomas Larsen (Denmark) adalah umpama impian menjadi kenyataan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 9:45 PM