Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

PERSATUAN Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) akan memastikan skuad compound negara tidak ketandusan kejohanan antarabangsa pada tahun depan selepas acara berkenaan tidak dipertandingkan pada Sukan Komanwel dan Asia.

Sukan memanah tiada dalam senarai Sukan Komanwel di Gold Coast pada April ini manakala hanya recurve dipertandingkan pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang.

“Kami akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) agar pemanah compound negara turut dihantar menyertai beberapa kejohanan antarabangsa pada tahun depan walaupun ia tidak dipertandingkan pada Sukan Komanwel dan Asia.

“Kami tidak mahu mereka kehilangan rentak dan prestasi sekiranya tidak menyertai sebarang kejohanan antarabangsa. Malah ia boleh dianggap antara persiapan untuk menghadapi Sukan SEA di Filipina pada 2019,” kata Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan.

Pemanah compound negara, Zulfadhli Ruslan (gambar) beberapa hari lalu melahirkan kebimbangan mengenai peluang untuk mereka beraksi di pentas antarabangsa selepas Indonesia memutuskan hanya mempertandingkan acara recurve pada temasya peringkat benua itu.

“Saya tidak boleh sahkan berapa banyak kejohanan antarabangsa, namun kami akan berbincang dengan MSN bagi mencapai keputusan terbaik untuk atlet. Kami tidak mahu prestasi mereka merosot sekiranya tidak diberikan peluang untuk bertanding di pentas antarabangsa dalam tempoh yang lama,” katanya.

Skuad compound memanah negara sememangnya sentiasa mempamerkan persembahan membanggakan sekiranya dihantar menyertai kejohanan antarabangsa seperti siri Piala Asia dan Piala Dunia.

Antara kejayaan yang dicapai adalah emas acara individu diri Piala Asia 2016 menerusi Zulfadhli dan selain gandingan Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nor Rizah Ishak dan Saritha Cham Nong raih emas siri pertama Piala Dunia 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 8:28 PM