Maradona mahu diberi peluang untuk mengendali Argentina.
Reuters

LONDON: Diego Maradona mengkritik persembahan Argentina dan merayu supaya beliau sekali lagi diberi peluang untuk mengendalikan skuad kebangsaan.

Sehari selepas tewas 2-4 kepada Nigeria dalam aksi persahabatan antarabangsa di Russia, Maradona yang membimbing Argentina pada pusingan akhir Piala Dunia 2010 tampil meluahkan kekecewaannya dalam laman sosial Instagram.

“Saya marah kerana mereka sudah membuang prestij kami, tapi ia bukan disebabkan oleh kesilapan pemain,” katanya.

“SAYA MAHU KEMBALI!!!”

Maradona yang ketika ini mengendalikan kelab Emiriah Arab Bersatu, Al Fujairah turut memaparkan statistik 11 pengendali terkini Argentina sambil menunjukkan kadar kejayaannya adalah 75 peratus.

Ia lebih tinggi berbanding Cesar Luis Menotti yang memenangi Piala Dunia pada 1978 dan Carlos Bilardo yang menjulang trofi keagungan itu pada 1986 ketika Maradona berada di puncak prestasi.

“Siapa paling banyak menang??” tulis Maradona. “Kita membuat kesimpulan sendiri.”

Bekas penyerang Boca Juniors dan Napoli itu mengemudi Argentina ke suku akhir Piala Dunia di Afrika Selatan sebelum mereka disingkirkan oleh Jerman.

Jurulatih Argentina ketika ini, Jorge Sampaoli mengharungi kempen tidak konsisten sejak mengambil alih tugas berkenaan Jun lalu apabila menang empat daripada lapan perlawanan namun hanya satu daripadanya aksi kompetitif.

Argentina mencari jalan sukar untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan apabila menang perlawanan kelayakan terakhir menentang Ecuador yang dibantu hatrik Lionel Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 10:34 AM