SHEVON (kiri) mahu mara atasi Takuro dan Sayaka. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@nstp.com.my


PEMAIN beregu campuran negara, Shevon Lai mengakui mereka tidak berdepan laluan mudah sejak pusingan pertama lagi pada Terbuka China dan mengakui harus fokus sepenuhnya dalam aksi menentang Takuro Hoki-Sayaka Hirota di Fuzhou, esok.

Menurut Shevon, setakat ini persiapan mereka berjalan lancar dan mula dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang di sana.

“Kami mendapat undian yang sukar, jadi saya rasa kami akan fokus pada perlawanan pusingan pertama terlebih dulu. Bagi saya mereka lawan yang kuat,” kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu ketika dihubungi hari ini.

Jika berjaya memenangi aksi itu, Shevon yang bergandingan dengan Goh Soon Huat mungkin akan berdepan beregu Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kim Ha Na.

“Kami pernah kalah kepada mereka (Hoki-Sayaka) sebelum ini (pusingan kedua Terbuka Jepun). Jadi kami perlu berhati-hati dan lebih bersedia esok,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Dalam pada itu, Shevon mengakui dia gembira dengan kemaraan ke separuh akhir Terbuka Denmark bulan lalu.

“Bagaimanapun pada Terbuka Perancis kami tidak beraksi dengan baik apabila tumpas di pusingan pertama kepada Seung Jae-Ha Na,” katanya.

Sementara itu, pilihan kelapan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan berdepan wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet manakala Chan Peng Soon-Cheah Yee See menentang Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul dari Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 4:52 PM