PEMAIN ragbi negara menjalani latihan.
Mohd Khairie Khalid
sukanteam@nst.com.my


KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) menaruh harapan tinggi untuk melihat skuad kebangsaan beraksi di Kejohanan Ragbi Indo Pacific (IPRC), yang dijadualkan pada tahun depan.

Presidennya, Datuk Shahrul Zaman Yahya yakin, jika skuad negara menyertai IPRC, ia akan mampu membantu meningkatkan prestasi pasukan ke tahap yang tertinggi.

“Kami teruja dan bermotivasi dengan plan strategik dan pelaksanaan IPRC. Ia satu landasan dan peluang keemasan untuk pemain tempatan beraksi dalam persekitaran serta budaya ragbi bertaraf dunia.

“Pemain akan mempunyai peluang beraksi bersama pemain antarabangsa dari seluruh dunia. Jadi, kami berharap untuk melihat penyertaan pasukan dari Malaysia yang kini berada di ranking keempat Asia,” kata Shahrul.

Katanya, IPRC adalah antara satu inisiatif yang akan membantu membuka peluang untuk pembangunan ragbi profesional di kawasan serantau.

“Idea kejohanan yang akan bermula pada Februari hingga Mei itu sangat sesuai untuk KRM, kerana ia akan memberi peluang meningkatkan prestasi dan kebolehan pemain, jurulatih serta staf sokongan sebelum tarikh penting pasukan kebangsaan pada bulan Jun.

“Ketika itu, skuad negara terbabit dalam Kejohanan Ragbi Asia dan Kelayakan Ragbi Piala Dunia 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 4:12 PM