BIBI Ramjani
Hasbullah Ibrahim
sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) akan menerima tajaan jersi syarikat Al-Ikhsan bagi skuad Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan bola sepak wanita musim depan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, Al-Ikhsan bersetuju menaja jersi untuk semua kategori pertandingan bola sepak yang disertai KAFA musim depan.

“Jersi sudah ada penaja, cuma kami akan tentukan kedudukan penaja di bahagian depan dan belakang jersi pada 14 November ini.

“Beberapa syarikat dan individu tertentu juga berminat untuk menaja Kelantan namun saya enggan mendedahkan nama syarikat itu sebelum menandatangani kontrak perjanjian,” katanya semalam.

Mengulas mengenai peruntukan kewangan yang diperlukan KAFA untuk mengurus pasukan musim depan, Bibi berkata, sejumlah RM12 juta diperlukan untuk tujuan itu, namun pihaknya lebih mengutamakan kualiti pemain dengan nilai perbelanjaan tidak tinggi.

Beliau yang juga usahawan batik dan memiliki syarikat hartanah berkata, antara perkara utama yang mahu dilakukannya adalah memastikan kewangan KAFA mencukupi selain tidak berlaku ketirisan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 5:37 AM