KHAIRUL di kedudukan kesembilan terpantas Asia dan 60 terbaik Sukan Komanwel.
Haika Khazi dan Aida Adilah Mat dan Devinder Singh
sporteams@nstp.com.my


RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan sekali lagi tidak tersenarai dalam kelompok 146 atlet baru dan lama yang bakal bernaung di bawah Program Podium 2018 mulai Januari depan.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menegaskan, Khairul tidak disenaraikan kerana pemenang pingat emas acara 100 meter Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 itu gagal memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan termasuk dari segi ranking dunia, Asia dan Sukan Komanwel.

“Kalau kita lihat kedudukan ranking Khairul Hafiz secara keseluruhannya dia memang menang emas di KL2017 tetapi kalau ikut catatan masa terbaiknya dalam acara 100m, dia sebenarnya berada di kedudukan kesembilan terpantas Asia dan 60 terbaik Sukan Komanwel. Dalam acara 200m pula dia berada di kedudukan 18 di Sukan Asia, manakala Sukan Komanwel nombor 36.

“Jika dia berada di kedudukan nombor enam hingga 10 terbaik Asia dan Komanwel, mungkin kita boleh bantu dia perbaiki prestasi dan catatan masa terbaiknya menerusi Sains Sukan dan kejurulatihan untuk capai ke tahap lebih tinggi.

“Tetapi kalau dia berada di nombor 60 dalam acara 100m di peringkat Sukan Komanwel maka sukar untuk kita masukkan namanya ke Program Podium,” katanya ketika sidang media selepas majlis pengumuman rasmi senara terbaru 146 atlet di bawah Program Podium di ISN sebentar tadi.

Terdahulu, Pengarah Program Podium, Tim Newenhem mengumumkan seramai 146 atlet dari 22 jenis sukan termasuk 26 muka baharu tersenarai di bawah program elit berkenaan mulai Januari 2018 sebagai persiapan awal menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan.

Manakala, seramai 13 atlet lama dari acara terjun, gimnastik berirama, karate, silat, bowling, angkat berat, memanah para, olahraga para, powerlifting dan renang para digugurkan dari Program Podium kerana tidak menyerlah dan gagal mencapai kriteria ditetapkan ISN.


KHAIRUL ketika beraksi dalam acara 200m separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. FOTO/OSMAN ADNAN

Mengulas lanjut, Abdul Azim berkata antara aspek penting yang diambil kira bagi dalam pemilihan atlet di bawah Program Podium ialah kemampuan atlet berkenaan untuk merangkul sekurang-kurangnya pingat gangsa di Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

“Walaupun ramai dalam kalangan atlet kebangsaan menang emas di KL2017, namun kalau kita lihat prestasi sebenar mereka dari segi ketinggian, kejauhan, catatan masa dan pungutan mata mereka memang amat jauh ketinggalan daripada pemenang pingat di Sukan Asia dan Sukan Komanwel,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Azim mempertahankan tindakan ISN mengekalkan 12 atlet sukan sepak takraw di bawah Program Podium biarpun mereka dikatakan kurang menyerlah di KL2017 dan tewas kepada regu keempat Thailand di final kejohanan Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw Dunia (ISTAF), di Hyderabad, India, awal bulan ini.

“Kita senaraikan acara sepak takraw di bawah program ini kerana yakin mereka boleh menyumbangkan satu emas di Sukan Asia pada Ogos tahun depan. Ini adalah satu program latihan khusus diberikan kepada pemain sepak takraw dengan objektif mereka mampu menang pingat di Sukan Asia.

“Jadi kita akan memantau prestasi mereka di kejohanan sepak takraw yang disertai dalam tempoh enam atau tujuh bulan lagi. Jika mereka gagal capai sasaran ditetapkan maka kita boleh gugurkan pemain sepak takraw berkenaan dari Program Podium,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 9:20 PM
Skip this ad x