SHAPAWI tetap mahu semua 13 atlet terus gigih berlatih. FOTO/OSMAN ADNAN
Aida AdilahHaika Khazi dan Devinder Singh
sukan@sports.nstp.com.my


TIADA halangan buat 13 atlet yang digugurkan daripada Program Podium meneruskan karier mereka dengan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana badan itu mengamalkan dasar keterbukaan dalam proses pemilihan ke dalam program mereka.

Malah Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada sidang media ketika mengumumkan senarai baru atlet ke dalam program itu berkata, MSN akan mengkaji kemampuan atlet berkenaan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja yang akan diadakan nanti.

Katanya, mana-mana atlet yang terkeluar daripada Podium tetapi dirasakan masih mampu menyerlah akan tetap dibantu.

“Mesyuarat jawatankuasa akan menilai semula prestasi setiap atlet yang digugurkan itu.

“Mereka akan terus dibantu untuk kembali ke dalam Program Podium atau ke Sukan SEA Manila 2019,” katanya.

Pada perkembangan sama Pengerusi Institut Sukan negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi turut mengulas tiada halangan buat tiga atlet menembak yang memfailkan saman kepada ISN untuk diserapkan semula ke dalam program.

Bagaimanapun ketiga-tiga atlet itu – Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Suryani Taibi – perlu membuktikan keupayaan mereka terlebih dahulu.

TIMBALAN Pengarah MSN, Datuk Ab Jalil Abdullah (kiri) menyampaikan ucapan pada forum kejurulatihan untuk jurulatih program Podium dan Kita Juara di dewan Komanwel, ISN Bukit Jali. NSTP/OSMAN ADNAN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 8:52 PM