ANDERSEN anggap cuaca di Thailand beri kelebihan kepada Malaysia.
Daripada Zulfaizan Mansor di Buriram dan Thailand
zulfaizan@nstp.com.my


JURULATIH Korea Utara, Jorn Andersen menegaskan bahawa beliau tahu ‘ramuan’ yang akan digunakan Harimau Malaya pada kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile, di sini, malam esok.

Andersen menjelaskan, pasukannya sudah tiga kali melakukan persiapan untuk berdepan Malaysia sebelum ia ditunda kerana masalah ketegangan politik yang melanda Korea Utara.

Malah, jurulatih kelahiran Norway itu menganggap penundaan perlawanan berdepan Malaysia sebelum ini memberi kebaikan buat pasukannya selepas Malaysia terpaksa tampil tanpa beberapa tonggak utama termasuk Aidil Zafuan Abd Radzak dan kapten Safiq Rahim yang digantung.

“Sudah pasti saya tahu banyak perkara mengenai Malaysia selepas tiga kali melakukan persiapan untuk berdepan mereka. Ia termasuk melihat corak permainan mereka menerusi video.

“Malah, penundaan perlawanan sebelum ini juga memberi kelebihan kepada kami dengan beberapa pemain mereka menerima kad merah ketika berdepan Hong Kong.

“Memang kami tewas 0-5 kepada Lubnan pada aksi sebelum ini, tapi saya fikir kami lebih bersedia untuk perlawanan kali ini,” katanya pada sidang media di Stadium I-Mobile, hari ini.

Aidil menerima kad merah pada aksi pertama berdepan Hong Kong pada 5 Oktober lalu dan digantung empat perlawanan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas didapati bersalah menolak pengadil.

Safiq pula tidak dapat diturunkan untuk aksi malam esok kerana dilayangkan kad merah pada aksi kedua berdepan Hong Kong, 10 Oktober lalu namun boleh beraksi semula pada perlawanan kedua berdepan Korea Utara, Isnin ini.

Pada masa sama, Andersen turut menyifatkan pemain Harimau Malaya mempunyai kelebihan kerana dilihat sudah biasa dengan keadaan cuaca di Thailand.

“Bagi saya, peluang seimbang buat kedua-dua pasukan kerana kami dan Malaysia menghuni dua tangga tercorot Kumpulan B.

“Namun, cuaca di sini (Thailand) seakan sama di Malaysia dan saya fikir ia memberi sedikit kelebihan kepada pemain lawan kerana sudah biasa dengan cuaca seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 9:21 PM