HOLLOWAY anggap kelompok 16 terbaik sudah memadai buat enam pemainnya.
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my


KETUA jurulatih bowling negara, Holloway Cheah beranggapan, kejayaan menduduki kelompok 16 terbaik sudah memadai buat enam pemainnya yang bakal bersaing di Siri Dunia Bowling Persatuan Pemain Bowling Profesional (PBA) Amerika Syarikat.

Holloway percaya, siri yang menampilkan lima kejohanan itu – Chameleon PBA, Shark PBA, Cheetah PBA, Scorpion PBA serta Dunia PBA dan menampilkan 195 pemain itu sangat kompetitif dan adalah satu kejayaan andai berjaya menempatkan diri dalam kelompok 16 terbaik..

Enam pemain yang turut serta – Rafiq Ismail, Alex Liew, Adrian Ang, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Timmy Tan dan Shalin Zulkifli berada di Reno, Nevada bagi kejohanan selama 12 hari yang bermula semalam.

“Melihat Siti (Safiyah Amirah Abdul Rahman) dan (Sin Li) Jane memperoleh keputusan baik di Jelajah PWBA (Jelajah wanita AS) beberapa bulan lalu, pastinya saya mahu mereka (enam pemain ini) melakukan perkara yang sama.

“Bagaimanapun, saya tak rasa mereka mampu menang lagi buat masa ini kerana kebanyakan mereka bermain di Jelajah PBA buat kali pertama kecuali Alex dan Shalin.

“Selain daripada pesaing bertaraf dunia, corak minyak juga lebih tebal berbanding kejohanan terbuka atau kejohanan rasmi lain.

“Kategori lelaki juga lebih sukar kerana hanya 16 terbaik daripada 195 pemain akan melangkah ke pusingan seterusnya berbanding wanita, di mana 32 teratas daripada 100 pemain akan melangkah ke pusingan seterusnya.

“Jadi jika mereka boleh memberi saingan di pusingan match play, ia adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Jika mereka boleh melakukan lebih baik, ia adalah bonus,” kata Holloway.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 11:35 PM