Johor DT julang Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. -Foto AZIAH AZMEE
Zulfaizan MansorSyafiq Aznan dan Aziman Rosdi & Firdaus Hashim
sukanteam@nstp.com.my


JURULATIH Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Ulisses Morais mendedikasikan kejuaraan Piala Malaysia kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan seluruh penyokong setia skuad Harimau Selatan.

Morais menjelaskan, TMJ dan penyokong berhak untuk mendapat hadiah piala berprestij itu selepas usaha dan sokongan padu yang diberikan hingga Johor DT berjaya mencipta pelbagai kejuaraan.

“Saya amat gembira. Tahniah kepada barisan kejurulatihan dan semua pemain kerana tanpa mereka, kami tidak akan berjaya.

“Bagi saya ini hadiah untuk bos saya, TMJ dan juga penyokong kerana mereka juga kami berada di final dan menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama, malam ini,” kata Morais pada sidang media selepas perlawanan, sebentar tadi.


SAFIQ Rahim dan Jurulatih Johor DT Morais meraikan kemenangan bersama penyokong setelah menewaskan Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam. -Foto ASYRAF HAMZAH

Dalam aksi di Stadium Shah Alam sebentar tadi, Johor DT tidak menunggu lama untuk berada di depan hasil jaringan Aidil Zafuan Radzak yang menanduk masuk sepakan penjuru Safiq Rahim pada minit ketiga.

Gonzalo Cabrera kemudian menambah gol kedua apabila menyudahkan hantaran Hazwan Bakri pada minit ke-63 untuk mengesahkan kejuaraan buat skuad Harimau Selatan.

Kemenangan menyaksikan Johor DT mencipta sejarah baru kelab itu apabila menjulang Piala Malaysia buat kali pertama, sekali gus melengkapkan koleksi trofi utama saingan tempatan yang dimenangi mereka.


PEMAIN Johor DT menjulang Tunku Ismail selepas kejayaan menumpaskan Kedah 0-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam. -Foto OSMAN ADNAN

Mengulas mengenai perlawanan akhir itu, Morais berkata, semangat pemainnya yang bekerja keras hingga wisel penamat menjadi kunci kejayaan menewaskan juara bertahan Kedah.

“Mereka (pemain) tidak berhenti bekerja keras di tengah padang dan hasilnya, kami berjaya mengawal permainan dan menjaringkan gol,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 12:57 AM