AFP

LONDON: Pemandu Formula Satu dari Brazil, Felipe Massa (gambar) akan bersara secara tetap daripada perlumbaan F1 hujung musim ini.

Pemandu Williams berusia 36 tahun itu yang meraih 11 kemenangan Grand Prix - membuat keputusan itu selepas pasukannya masih belum mengumumkan barisan pelumba bagi saingan musim depan.

Massa sebelum ini memaklumkan dia masih lagi mahu beraksi pada perlumbaan tahun depan - selepas mengubah fikirannya untuk bersara pada hujung 2016 - tetapi Williams difahamkan lebih berminat untuk menyenaraikan Robert Kubica sebagai pemandu utama mereka selain Lance Stroll.

“Saya bersetuju untuk kembali musim ini bagi membantu Williams. Saya menikmati empat tahun yang hebat bersama pasukan ini tapi kerjaya saya dalam F1 akan berakhir hujung musim ini,” kata Massa.

Dia yang cedera teruk apabila mengalami kemalangan pada Grand Prix Hungary pada 2009 berkata, dia gembira sepanjang beraksi dalam sukan itu sejak membuat kemunculan pertama pada 2002.

“Saya akan membawa memori indah bersama saya dan saya kini membuat persiapan bagi menghadapi dua perlumbaan terakhir di Brazil dan Abu Dhabi. Biarpun ia akan menjadi emosi, saya teruja untuk menamatkan saingan dengan keputusan yang cemerlang,” katanya.

Pencapaian terbaik keseluruhannya adalah ketika muncul naib juara ketika bersama Ferrari di belakang Lewis Hamilton pada 2008 selepas bersaing hebat sepanjang musim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 10:55 PM