LEWANDOWSKI perkuatkan Bayern semula selepas pulih daripada kecederaan.
AFP

BERLIN: Robert Lewandowski sedia beraksi untuk Bayern Munich, esok dalam usaha memburu kemenangan penting ke atas pesaing kejuaraan Bundesliga, Borussia Dortmund yang kini dilanda masalah.

Bintang Poland itu terlepas pertembungan Liga Juara-Juara menentang Celtic akibat kecederaan belakang, tetapi dijangka cergas sepenuhnya menjelang aksi dengan bekas kelabnya, di Signal Iduna Park.

Kepulangan Lewandowski akan memperkuatkan cabaran Bayern yang kembali berada pada tahap keyakinan terbaik selepas kebangkitan dalam beberapa aksi terakhir.

Perlawanan esok menawarkan peluang untuk melebarkan penguasaan Bayern di puncak liga dan meletakkan Dortmund yang kini dalam krisis dalam kedudukan lebih parah.


PEMAIN Bayern mula berlatih bagi menghadapi aksi menentang Dortmund. FOTO/AFP

Di sebalik kecederaan dialami Lewandowski, Franck Ribery dan Thomas Mueller - nasib Bayern bertambah baik sejak Carlo Ancelotti dipecat, akhir September lalu.

Di bawah kendalian Jupp Heynckes, juara bertahan itu menang kesemua enam perlawanan di bawah pengendali baharu itu.

Mereka memadamkan kelebihan lima mata Dortmund untuk menerajui Bundesliga, memenangi aksi liga dan piala ke atas RB Leipzig, serta mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

“Kami mengambil langkah besar dalam beberapa minggu kebelakangan ini,” kata penyerang Bayern Arjen Robben.

“Tiga minggu lalu, saya tidak akan percaya jika anda beritahu kedudukan kami sekarang. Tetapi kami perlu terus berpijak di bumi nyata.”

Sebaliknya, Dortmund mengharungi minggu yang sukar. Skuad kendalian Peter Bosz hanya menang sekali dalam enam perlawanan terakhir mereka, tercicir ke tangga kedua selepas tewas di tangan RB Leipzig dan Hanover 96.

Dua kali seri menentang APOEL Nicosia menambah derita mereka, sekali gus menutup peluang untuk layak ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara. - AFP


BAYERN menang kesemua enam perlawanan dibawah kendalian Heynckes. FOTO/AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 11:57 AM