HARRIF harap dapat berikan yang terbaik di TOM 2017. -Foto fail
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

PAKAR pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh mengharapkan persembahan lebih baik mampu dipamerkan dirinya pada perlumbaan Tour of Malaysia (TOM) 2017 yang dijadualkan bermula minggu depan.

Pemenang pingat emas Sukan SEA berkenaan memenangi satu peringkat perlumbaan di Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) pada awal bulan ini selain direhatkan untuk aksi Tour de Selangor dua minggu lalu.

“Saya mengharapkan persembahan yang baik mampu dipamerkan di TOM yang pertama kali dianjurkan. Jika dilihat pada laluan, ia banyak memberi kelebihan kepada pelumba pecut kepada saya sekiranya berakhir dalam kelompok ramai.

“Saya meletakkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya satu peringkat perlumbaan dan bersaing merebut jersi Raja Pecut,” jelasnya.

Bagaimanapun menurut Harrif, ia turut bergantung kepada penyertaan pasukan yang bertanding dan rakan pasukan yang bakal digandingkan bersamanya untuk mengharungi perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia itu.

“Setakat ini saya masih belum mengetahui pasukan bakal bertanding namun difahamkan pasukan yang agak kuat dari Australia, Kazakhstan, Jepun dan Korea. Jadi sasaran saya turut bergantung kepada pasukan yang bertanding,” katanya.

Selain Harrif, pasukan berstatus benua dari Terengganu itu menghantar gandingan muka baru dan lama seperti Mohd Zamri, Adiq Husainie Othman, Mohd Zulhilmie Afif Zamri, Che Ku Mohd Nazmi dan adiknya, Che Ku Mohd Shamil Che Ku Romli.

TOM edisi pertama yang diuruskan Peloton Resources Sdn Bhd dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 11 November mempertandingkan lima peringkat perlumbaan sejauh 688.5 kilometer yang bermula di Perak merentasi beberapa negeri dan dijadualkan berakhir di Pekan, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 8:31 PM