Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


PRESIDEN Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar) berjanji akan cuba menyelesaikan segala isu yang berbangkit membabitkan kesatuan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang akan berlangsung Sabtu ini.

Antara perkara yang akan dibincangkan adalah isu jurulatih dan kes doping membabitkan atlet terjun Wendy Ng.

Katanya, beliau akan bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar Jumaat ini dan kata sepakat yang dicapai akan diusul pada AGM nanti.

“Buat ketika ini tiada perubahan dari struktur kejurulatihan. Tiga jurulatih yang ada sudah mencukupi. Kes rogol atlet itu ASUM serahkan pada polis untuk mencari jalan penyiasatan demi keadilan semua pihak.

“Tapi saya akan bincang juga perkara ini dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan Khairy untuk perkembangan selanjutnya dan berita terkini selepas perbincangan itu akan dimaklumkan dalam AGM nanti,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Kehormat ASUM Mae Chan memaklumkan bahawa pihaknya kini hanya menunggu tarikh dari Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk pendengaran kes Wendy .

Mae berkata, selepas sesi pendengaran keputusan akan dihantar kepada FINA dan badan induk antarabangsa itu akan memutuskan sama ada mereka yang akan mengendalikan kes berkenaan atau menyerahkan tugas menjatuhkan hukuman itu kepada ASUM.

Skuad terjun negara menyapu bersih 13 emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos Ialu dan jika pingat Wendy di dalam acara individu ditarik balik, maka pemenang perak, Nur Dhabitah Sabri akan memenangi pingat emas secara automatik sekali gus jumlah pungutan pingat negara tidak akan terjejas.

Namun, jika pingat 3m seirama wanita yang dimenangi Wendy-Dhabitah ditarik balik, maka negara akan kehilangan satu emas dalam pungutan pingat keseluruhan.

Wendy didapati positif menggunakan bahan terlarang sibuteramine yang sering didapati dalam ubat pelangsing badan dengan ujian sampel B yang diadakan 11 Oktober lalu turut didapati positif dan dia kini digantung daripada skuad kebangsaan buat sementara waktu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 7:58 PM