ATLET skuasy, Siow Yee Xian (tengah) dinobatkan anugerah All Round Student Award (ARSA) manakala Jellson (kanan) dan atlet gimrama, Koi Sie Yan dinobatkan anugerah olahragawan dan olahragawati pada majlis Anugerah Gemilang (SSBJ 2017 di Dewan Olimpik SSBJ. FOTO/OWEE AH CHUN
Mohd Kharie Khalid
khairie@bh.com.my


BAKAT baru dalam sukan terjun, Jellson Jabilin tidak kisah jika terpaksa ‘diceraikan’ daripada gandingannya, Hanis Nazirul Jaya Surya yang merangkul pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Jellson tidak menolak kemungkinan itu akan berlaku, dan jika diarahkan, dia bersedia beraksi dengan gandingan lain, termasuk penerjun senior lelaki yang berpengalaman seperti Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang.

Penerjun muda ini - yang beraksi buat kali pertama di kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur (GP KL) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil - mengakui dia selesa bergandingan dengan sesiapa saja jika diarahkan ketua jurulatih, Yang Zhuliang.

“Sukan SEA adalah penampilan pertama saya dan digandingkan bersama Hanis Nazirul dan Leong Mun Yee. Memang kali pertama kami digandingkan, tetapi saya selesa bersama mereka.

“Jika ada arahan untuk menukarkan pasangan, (seperti dengan Ahmad Amsyar atau Ooi Tze Liang), saya terima saja asalkan ada keserasian,” kata Jellson, 16, yang mengakui lebih meminati acara platform 10 meter (m) lelaki.

Penerjun kelahiran Sabah ini menjelaskan, dia turut memasang impian untuk mengecapi kejayaan lebih tinggi termasuklah menyertai temasya nombor satu dunia, Sukan Olimpik selepas ini.


PENERJUN negara, Hanis Nazirul Jaya Surya (kanan) bersama Jellson ketika beraksi pada acara acara 10 meter platform seirama lelaki Sukan SEA KL2017 di Pusat Akuatik Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO/AIZUDDIN SAAD

Penerima anugerah Olahragawan pada Majlis Anugerah Gemilang Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 2017 ini memaklumkan, dia bakal menyertai Kejohanan Terjun Grand Prix FINA di Gold Coast, Australia pada November ini.

Gelaran Olahragawati SSBJ pula menjadi milik atlet gimrama negara, Koi Sie Yan.

Untuk rekod, ketika Sukan SEA Ogos lalu, penerjun muda negara, Jellson dan Hanis Nazirul menghadiahkan pingat emas ke-13 negara, bagi acara 10 meter platform seirama lelaki dengan mengumpul 384.12 mata.

Jellson turut meraih emas dalam acara terjun 10m seirama campuran, bergandingan bersama penerjun senior wanita negara, Leong Mun Yee.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 3:56 PM