MBAPPE (kanan) direhatkan pada aksi UCL. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Kylian Mbappe yang bergelut untuk menemui sentuhan boleh direhatkan Paris Saint-Germain dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Anderlecht awal pagi esok ketika kelab Perancis itu tampak sudah memastikan tempat mereka dalam kelompok 16 pasukan terakhir.

Kebangkitan Mbappe menjadi seorang bintang berlaku dengan cepat tetapi penyerang Perancis itu yang hanya berusia 18 tahun, kini melalui tempoh terburuk dalam karier pendeknya.

Selepas menjadi bintang utama ketika Monaco meraih gelaran Ligue 1 dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu, Mbappe menyertai PSG pada Ogos dengan perjanjian pinjaman yang akan menjadi pembelian tetap dengan nilai 180 juta euro (RM886.61 juta) tahun depan.

Ia akan menjadikan Mbappe pemain kedua termahal dalam sejarah di belakang rakan sepasukan PSG, Neymar namun persembahannya kebelakangan ini menunjukkan liputan berterusan media sudah memberi kesan kepadanya.

“Dia OK. Sejak dia tiba di sini sudah banyak perubahan berlaku kepadanya, di padang dan profil miliknya di media, dan dia masih terlalu muda dan kadangkala saya rasa ia bukan mudah,” kata pemain tengah PSG, Adrien Rabiot semalam.

“Dia melalui sebahagian persembahan yang bagus pada tahap sangat awal dan dia datang dari kelab yang bermain sangat bagus, di Eropah juga. Dia menerima pendedahan secara terus, dia bintang sebenar, dan pada usia itu memang amat sukar menghadapinya.”

Mbappe sudah menjaringkan empat gol dalam 10 penampilan bersama kelab Paris itu, termasuk jaringan pembukaan ketika menang 4-0 mengatasi Anderlecht di Belgium dua minggu lalu.

Namun sejak itu dia hanya diberikan markah dua daripada 10 oleh akhbar harian L’Equipe untuk persembahan ketika seri 2-2 di Marseille dan terus merudum Jumaat lalu ketika menang 3-0 berdepan Nice.

Angel Di Maria cemerlang dalam perlawanan itu ketika menggantikan Neymar. Pemain Brazil itu juga sudah kembali namun Di Maria berharap akan dapat mengekalkan tempatnya dan Mbappe tampak menjadi calon untuk direhatkan.

“Ia adalah pengalaman baharu buatnya,” kata jurulatih Unai Emery di Parc des Princes, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 12:49 PM