FARDERIN (kiri) mahu ubah angin musim depan. FOTO/IQMAL HAQIM ROSMAN
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


PENYERANG Negeri Sembilan, Farderin Kadir tidak akan beraksi bersama pasukan lamanya, PKNS FC pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan walaupun masih mempunyai kontrak setahun lagi dengan pasukan itu.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan itu sudah mempunyai pasukan baru dari kelompok Liga Perdana yang bersedia untuk mendapatkan khidmatnya bagi mengharungi saingan musim depan. Pemain berusia 30 tahun itu yang dipinjamkan oleh PKNS FC kepada Negeri Sembilan bagi menghadapi saingan Liga-M musim 2017 berkata, perbincangan dengan pasukan baru itu masih berjalan dan hampir mencapai persetujuan.

“Sepatutnya saya kembali kepada pasukan asal iaitu PKNS FC sebaik tamat saingan musim ini, bagaimanapun pengurusan PKNS FC sudah mempunyai perancangan tersendiri dalam memilih pemain terbaik bagi menghadapi saingan musim depan.”

“Dalam masa yang sama pula, saya hanya sebagai pemain pinjaman dengan Negeri Sembilan dan status itu akan berakhir sebaik saingan musim 2017 berakhir iaitu sehingga akhir November ini. “Justeru itu, saya perlu mencari pasukan baru bagi meneruskan karier sebagai pemain bola sepak untuk musim 2018 dan akan beraksi dengan sebuah pasukan dari Liga Perdana sebagai pemain pinjaman,” katanya di sini, hari ini.

Farderin yang enggan menamakan pasukan baru itu berkata, dia bersedia untuk meneruskan persembahan terbaik dan berazam memberikan sumbangan lebih baik kepada pasukan berkenaan musim depan. Mengulas mengenai khidmatnya bersama skuad Hobin Jang Hobin musim ini, pemain kelahiran Melaka itu akui terkilan kerana gagal membantu pasukan terbabit beraksi di Liga Super pada musim 2018 seperti disasarkan.

Dia yang sekadar mengumpul empat gol termasuk dua gol dalam saingan Piala Malaysia berkata, kegagalan mengekalkan tahap konsisten dalam persembahan antara punca utama impian layak ke Liga Super musim depan berkubur.

“Secara peribadi sememangnya impian saya mahu membantu Negeri Sembilan layak ke Liga Super, tetapi kami tiada rezeki dan pasukan gagal mengekalkan rentak kemenangan, walaupun prestasi pada awal musim amat memberangsangkan.”

“Saya mohon maaf kepada pengurusan pasukan terutama Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan kerana tidak dapat membantu merealisasikan sasaran iaitu layak ke Liga Super musim 2018. Apa pun saya berdoa dan berharap musim 2018 ada sinar buat pasukan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 12:03 PM