FELDA perlu berbelanja tinggi untuk mendapatkan Comvalius.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

HASRAT FELDA United FC untuk mendapatkan sentuhan berbisa Sylvano Comvalius menemui jalan buntu apabila penjaring gol terbanyak Liga Indonesia itu meletakkan harga terlalu tinggi yang sukar ditunaikan kelab tempatan itu.

Perkara itu disahkan sendiri pengendali pasukan, B Sathianathan yang mengakui terpaksa melupakan misi untuk memburu penyerang utama Bali FC itu selepas ejennya meletakkan harga terlampau mahal.

“Harga berapa dia minta saya tak boleh cakap, biarlah ianya rahsia. Cuma saya boleh katakan ejen pemain itu memang ada berjumpa dengan saya selepas pemain itu dikatakan berminat untuk beraksi di sini (Liga Malaysia).

“Bagaimanapun, harga diletakkan terlalu mahal dan tak masuk akal langsung. Walaupun dia bagus tetapi saya rasa dengan umurnya yang sudah menjangkau 30 tahun memang tak berbaloi.

“Daripada ambil dan bayar tinggi-tinggi, baik saya gunakan pemain yang ada saja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menerusi laporan sebelum ini, difahamkan skuad The Fighters bakal merombak jentera serangan pasukan itu dengan Comvalius yang juga bekas penyerang remaja Ajax Amsterdam, di Belanda itu menjadi antara sasaran.

Pemilihan Comvalius, 30, dilihat tepat berdasarkan prestasi semasanya yang muncul sebagai penjaring terbanyak liga Indonesia dengan 28 gol dalam 30 penampilan bersama Bali United.

Malah, namanya juga turut dikaitkan oleh media di negara republik itu untuk disenaraikan sebagai pemain naturalisasi seperti yang pernah diberikan kepada penjaring kedua terbanyak di belakang Safee Sali dalam kempen Piala AFF 2010 lalu iaitu Cristian Gonzales.

“Berdasarkan aksi terakhir liga (Liga Super) menentang PKNS FC sabtu lalu, saya berpuas hati dengan penyerang import, Thiago Augusto dan Ifedayo Olusegun.

“Saya percaya gandingan mereka berdua mampu pergi lebih jauh pada musim depan sekali gus membantu pasukan untuk memburu sekurang-kurangnya satu gelaran,” katanya.

Dalam pertemuan dengan PKNS itu, FELDA berjaya meraih kemenangan selesa 4-2 dengan Thiago meledak hatrik (minit ke-50, 73 dan 93) dan satu gol menerusi Zah Rahan Krangar (m-91), sementara Shahrul Azhar Ture (m-23) serta Abdou Jammeh (m-90) mencetak gol buat PKNS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 2:30 PM