GUARDIOLA tetap waspada dengan Napoli. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkata skuad kendaliannya bakal berdepan situasi sukar untuk mengekalkan rekod 13 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan musim ini apabila bertemu Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu mengumpul mata maksimum setakat ini dalam saingan Kumpulan F dan berpeluang mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati dengan kemenangan di Stadio San Paolo.

Guardiola menggambarkan Napoli kendalian Maurizio Sarri sebagai sebuah daripada pasukan terbaik pernah dihadapinya, baik sebagai pemain mahupun pengendali, selepas City menewaskan mereka 2-1 di Stadium Etihad awal bulan ini.

“Kami memerlukan satu lagi kemenangan untuk layak, tetapi kami akan bertemu pasukan yang sedang mendahului Serie A dan semua orang tahu corak permainan mereka di laman sendiri, jadi ia pasti menjadi sukar,” kata Guardiola.


PELUANG City buru slot kalah mati jika menang ke atas Napoli. FOTO/AFP

“Tetapi ia peluang yang baik buat kami untuk menempah tempat (ke peringkat kalah mati) dan kami akan cuba memberikan usaha terbaik kami untuk mencapainya.”

City bertandang ke Naples selepas gol jaringan Leroy Sane, Fernandinho dan Raheem Sterling memberikan mereka kemenangan 3-2 di laman West Bromwich dalam saingan Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu.

Pertahanan Napoli, Elseid Hysaj bagaimanapun yakin mampu mengekang Sane yang sudah menjaringkan lapan gol dalam semua pertandingan musim ini.

“Dia pemain yang kuat, secara teknikal dan fizikal, dan kami akan berbicara mengenainya, tetapi saya sudah mengkaji bagaimana untuk menghalangnya,” kata pemain Albania itu mengenai pemain sayap Jerman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 11:02 AM