Eei Hui (kiri) gembira dengan prestasi anak buahnya. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


“SANGAT baik berbanding tiga kejohanan sebelum ini,” kata ketua jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui mengenai prestasi anak buahnya, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing walaupun mereka terkandas di suku akhir Terbuka Perancis semalam.

Menurut bekas pemain beregu wanita negara itu, setidak-tidaknya Kian Meng-Pei Jing berjaya mengheret perlawanan sehingga ke rubber set ketika berdepan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 Tontowi Ahmad-Lilyana Natsir di suku akhir.

“Apa yang boleh saya katakan mereka bermain dengan baik berbanding tiga kejohanan terdahulu. Sangat baik, setidak-tidaknya mereka sudah perlahan-lahan mendapat semula keyakinan,” kata Ee Hui ketika dihubungi semalam.

Katanya, selepas mempamerkan aksi mantap di Eropah, dia kini harus mempercayai anak buahnya terutama menjelang Terbuka China (14-19 November) dan Hong Kong (21-26 November).

“Saya berharap mereka dapat beraksi dengan baik di China dan Hong Kong kerana mereka mempunyai peluang terbaik untuk melayakkan diri ke Siri Super Akhir di Dubai (13-17 Disember),” kata Eei Hui.

Berdasarkan ranking Siri Super Akhir, Kian Meng-Pei Jing menduduki tangga ketujuh, manakala bagi ranking dunia pula mereka menghuni tempat ke-11.

Hanya lapan pasukan terbaik di ranking Siri Super Akhir layak untuk beraksi di kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1 juta (RM4.2 juta) itu.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan prestasi satu lagi pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, Eei Hui berkata, kedua-dua pemain itu sudah menunjukkan peningkatan serta mula memahami antara satu sama lain sejak digandingkan tahun lalu.

“Bagaimanapun, mereka masih banyak lagi perlu belajar. Jika dibandingkan keputusan Terbuka Denmark (separuh akhir) dan Terbuka Perancis (pusingan pertama) ia disebabkan mereka berdepan lawan yang bagus di Paris. Mereka sudah berikan yang terbaik sebenarnya.

“Jadi kita harus menerima keputusan ini dengan terbuka dan mengharapkan mereka pulang semula ke tanah air untuk berlatih dengan lebih gigih lagi,” katanya.

Soon Huat-Shevon menduduki ranking ke-14 dunia dengan pencapaian terbaik musim ini ialah muncul naib juara Masters Malaysia dan Terbuka Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 4:34 PM