LEMAR (kiri) meraikan jaringanya bersama rakan sepasukan. -Foto Reuters
AFP

PARIS: Monaco tidak merasai kehilangan penjaring utama, Radamel Falcao ketika mereka menang 2-0 di tempat lawan mengatasi Bordeaux dalam Ligue 1 awal pagi tadi, namun skuad kendalian Claudio Ranieri, Nantes pula tewas mengejut.

Keita Balde dan Thomas Lemar menjaringkan gol pada babak kedua untuk juara bertahan itu yang kembali merapatkan kedudukan kepada empat mata berbanding pendahulu liga Paris Saint-Germain.

PSG, beraksi tanpa Neymar yang digantung perlawanan, mengekalkan rekod tanpa kalah sejak permulaan kempen apabila mengetepikan Nice 3-0 Jumaat lalu hasil dua jaringan Edinson Cavani dan gol sendiri Dante.

Cavani kini mengumpul 99 gol Ligue 1 dan 11 musim ini, meletakkannya hanya dua gol di belakang Falcao dalam carta penjaring terbanyak.

Pemain Colombia itu menjaringkan hatrik apabila Monaco menang 4-0 di Bordeaux musim lalu tetapi terlepas perlawanan kerana kecederaan paha – dan dia berharap akan kembali bagi saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini berdepan Besiktas di Istanbul.

Ketika kehilangannya, jurulatih Leonardo Jardim memilih bekas penyerang Lazio, Balde mengetuai serangan dan dia membuka jaringan sejurus sebelum sejam perlawanan.

Pemain sayap Perancis, Lemar menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-65, menerima hantaran bola jauh Kamil Glik dan membawanya ke kiri sebelum meledak jaringan.

Bordeaux tidak mampu bangkit dan kini hanya mengumpul satu mata daripada empat perlawanan mereka dan berkedudukan ketujuh.

“Ia adalah kemenangan yang bagus dengan pemain yang kami ada hari ini dan mereka mampu membawa kemenangan buat kami,” kata Jardim.

“Keita Balde sudah meningkatkan persembahannya setiap hari dan kami boleh menggunakannya di bahagian tengah.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 11:53 AM