PEDROSA menduduki tempat pertama sesi ujian masa MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Khairil S Iswan dan Saiful Affendy Sapran & Fadhli Ishak
sukanteam@nstp.com.my


DANI Pedrosa membuktikan sentuhannya masih lagi berbisa apabila menyambar petak utama MotoGP pada Kejuaraan Grand Prix Malaysia ketika pendahulu kejuaraan, Marc Marquez ditimpa malang apabila terjatuh di awal sesi kelayakan, sebentar tadi.

Pelumba Repsol Honda itu begitupun menunggu hingga pusingan terakhir untuk melakukan catatan terpantas 1 minit 59.212 saat sekali gus petak pertama ketiganya musim ini selepas GP Sepanyol dan Barcelona.

Penunggang Perancis dari Monster Yamaha, Johann Zarco yang pada satu ketika yakin memperoleh petak utama terpaksa berpuas hati memulakan perlumbaan di petak kedua selepas catatannya hanya dibezakan 0.017s di belakang Pedrosa.

Melengkapkan barisan depan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) esok adalah pelumba Ducati yang juga pencabar kejuaraan dunia, Andrea Dovizioso.

“Saya melakukan beberapa kesilapan pada awalnya jadi saya gembira kerana petak utama ketiga tahun ini adalah keputusan yang positif kerana saya tidak kerap meraihnya tahun ini,” kata Pedrosa.

“Bermula di petak utama pada perlumbaan esok amat penting dan keadaan litar juga semakin baik jadi kelajuan semakin meningkat. Hujan tidak turun hari ini dan kami berharap kami dapat berlumba dalam keadaan litar kering.


MARQUEZ terjatuh di awal sesi kelayakan. FOTO/AFP

“Apa pun kami akan terus fokus untuk perlumbaan sebenar dan berharap dapat melakukan yang terbaik,” katanya yang memenangi satu perlumbaan musim ini di GP Sepanyol, Mei lalu.

Juara dunia sembilan kali dan legenda Itali, Valentino Rossi dalam pada itu akan mengetuai barisan kedua perlumbaan esok selepas melakukan catatan keempat terpantas.

Ia diikuti rakan sepasukannya dari Movistar Yamaha, Maverick Vinales manakala rakan sepasukan Dovizioso, Jorge Lorenzo melengkapkan barisan kedua.

Agak malang bagi Marquez apabila dia terjatuh di awal sesi kelayakan untuk berpuas hati memulakan perlumbaan di barisan ketiga selepas melakukan catatan ketujuh terpantas.

Ketika ini, Marquez sedang memimpin kejuaraan dengan kelebihan 33 mata di depan Dovizioso menuju dua pusingan terakhir termasuk di Malaysia dan Valencia, Sepanyol.

Bagi mengesahkan kejuaraan dunia keempat lebih awal, pelumba kelahiran Sepanyol itu perlu menamatkan perlumbaan melebihi mata berbanding Dovizioso.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 4:34 PM