DOVIZIOSO ketika mengambil selekoh dalam keadaan hujan pada sesi latihan bebas kedua MotoGP Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. FOTO/BERNAMA
Khairil S Iswan dan Saiful Affendy Sapran & Fadhli Ishak
sukanteam@nstp.com.my


KEMAMPUAN jentera Ducati berfungsi di tahap terbaik diakui Andrea Dovizioso sebagai kunci untuknya mendominasi kedua-dua sesi latihan bebas MotoGP pada Kejuaraan Motosikal Grand Prix Malaysia, hari ini.

Menyifatkan pemburuan kejuaraan dunia masih lagi terbuka di sebalik jurang mata agak besar antaranya dengan pendahulu kejuaraan Marc Marquez, pelumba dari Itali itu membuktikan kata-katanya dengan mencatat masa terpantas pada kedua-dua sesi yang berlangsung dalam keadaan litar kering dan basah.

Ketika Marquez sedikit bergelut dengan keadaan litar kering di sebelah pagi, Dovizioso tampak cukup selesa sebelum sekali lagi mengatasi pelumba Sepanyol itu di sesi berikutnya.

“Saya amat gembira kerana kami mengesahkan kelajuan kami dalam dua keadaan cuaca berbeza,” kata Dovizioso. “Kami amat gembira dengan sesi sebelah pagi.


DOVIZIOSO gembira dengan latihan beba kedua. FOTO/OSMAN ADNAN

“Ia bukannya sesi latihan dalam keadaan kering yang normal tapi catatan sepusingan juga tidak begitu buruk, malah keadaannya serta tahap cengkaman juga tidak begitu baik.

“Ketika keadaan basah, kami mahu mengesahkan perkara yang baik dapat diteruskan daripada tahun lalu dan ia menjadi lebih baik. Jentera berfungsi dengan sempurna dan cukup baik.”

Dovizioso ketika ini ketinggalan 33 mata di belakang Marquez berbaki dua pusingan perlumbaan termasuk Malaysia dan Valencia, Sepanyol.

Andai Marquez menamatkan perlumbaan di Sepang dengan catatan mata melebihinya, pelumba Repsol Honda itu akan mengesahkan kejuaraan dunia keempat miliknya tanpa memerlukan keputusan di pusingan terakhir.


MARQUEZ keluar dari pit pada sesi latihan bebas kedua. FOTO/BERNAMA

Marquez dalam pada itu mengakui jenteranya tidak berfungsi seperti diharapkan pada sesi pertama sekalipun sebelum ini mengakui lebih gembira jika perlumbaan berlangsung dalam keadaan litar kering.

“Sukar untuk memahami keadaan kami ketika keadaan kering. Tapi ketika keadaan basah kami berada di sana, tidak begitu jauh. Dovi amat pantas pada sesi latihan kedua tapi saya juga berfungsi dengan baik.

“Saya tidak rasa begitu teruk. Ia bukan hari terbaik kami tapi ia tidak begitu teruk. Kami meningkat dan ketika ini perasaan saya bagus, jadi kami akan terus mencuba dan mengekalkan tahap yang sama.”

Sementara itu, seorang lagi pelumba Ducati, Jorge Lorenzo juga menampilkan kebangkitan pada sesi kedua apabila melengkapkan kedudukan tiga terpantas (2:12.695s) selepas hanya melakukan masa ke-10 terpantas pada sesi pagi.

Ia kemudian diikuti pelumba Yamaha, Maverick Vinales (2:12.878s) manakala rakan sepasukannya yang juga legenda Itali, Valentino Rossi melakukan catatan keenam terpantas (2:13.071s).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 9:27 PM