Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan memastikan penganjuran perlumbaan berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 berjalan lancar termasuk dalam mendapatkan pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Jaminan berkenaan disuarakan Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab (gambar) yang menjelaskan menjadi tanggungjawab badan induk itu membantu penganjur LTdL iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi perlumbaan berstatus hors classe yang memasuki edisi ke-23, tahun depan.

Menurut semakan di kalendar UCI, perlumbaan LTdL dijadualkan berlangsung sebanyak lapan peringkat bermula 3 hingga 10 Mac tahun depan.

“PKBM akan terus menjalankan tanggungjawab kami kepada penganjur iaitu KBS bagi mendapatkan pengiktirafan daripada UCI dan seterusnya membantu KBS dalam aspek teknikal perlumbaan.

Apa yang penting ialah menyaksikan LTdL kekal sebagai salah satu perlumbaan basikal bertaraf dunia yang diiktiraf dan ditinggu-tunggu oleh peminat berbasikal tempatan dan antarabangsa,” kata Abu Samah.

Beliau turut menjelaskan KBS dan PKBM memahami bahawa LTdL yang dimulakan oleh kerajaan di bawah kementerian itu akan diteruskan bersama PKBM.

“Bagi menjayakannya satu perlumbaan sukan berbasikal terbesar negara, ia memerlukan kerjasama yang erat dan efektif antara kedua-dua pihak,” tambah Abu Samah.

LTdL mula dianjurkan sejak 1996 dengan menampilkan sejumlah pasukan handalan serta membantu mengembangkan sukan berbasikal negara sehingga meletakkan Malaysia di peta dunia sukan itu.

Antara jaguh tempatan yang lahir menerusi penganjuran LTdL adalah Anuar Manan ketika mewakili Geumsan Ginseng Asia yang muncul Raja Pecut edisi 2010 manakala Adiq Husainie Othman dari Terengganu Cycling Team (TSG) muncul pelumba terbaik Asia pada edisi 2016 selain tiga gelaran pasukan terbaik Asia menerusi skuad kebangsaan (1999) dan Telekom Malaysia Cycling Team (2001 dan 2002).

“Kita tetap optimis dan yakin, penganjuran berterusan perlumbaan seperti ini mampu melahirkan lebih ramai jaguh lebuh raya pada masa depan. Malah akan mampu mengharumkan nama negara di pentas lebih besar seperti Olimpik suatu hari nanti,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 11:42 PM