JACKIE Wong ketika sesi latihan di padang MSN Bukit Jalil. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


TAHUN 2017 meninggalkan memori indah buat atlet baling tukul besi negara Jackie Wong yang melakar kejayaan penuh gemilang dalam kariernya apabila meraih emas Sukan SEA dan tiga kali memecahkan rekod kebangsaan.

Jackie menutup tirai 2017 dengan meraih emas pada Kejohanan Olahraga ATM awal bulan ini dengan balingan 63.14 meter dan berharap akan diberi peluang sekali lagi beraksi pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast, tahun depan.

Katanya, latihan intensif akan bermula bulan depan sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Saya amat berharap diberi peluang untuk mengambil bahagian di Sukan Komanwel dan melakar sejarah untuk Malaysia dalam acara ini.

“Jurulatih (Gu Yuan) juga tidak memberi rehat yang panjang.

“Jika boleh saya dan jurulatih merancang untuk menjalani latihan di luar negara namun tempat belum ditentukan lagi,’ katanya.

Pengorbanan Jackie selama ini dilihat sesuatu yang berbaloi apabila bergelar pemegang rekod Sukan SEA dengan jarak 65.90m.

Malah tahun ini saja, atlet kelahiran Sarikei, Sarawak itu berjaya memecahkan tiga rekod kebangsaan bermula di Kejohanan Olahraga Jeollanamdo di Korea Selatan 64.55m (April), Sukan Majlis Kebajikan dan Anggota Kerajaan (MAKSAK) 65.34 (Jun) dan Sukan SEA Kuala Lumpur 65.90m (Ogos).

Empat tahun berada di bawah bimbingan Gu Yuan yang juga bekas juara dunia, Jackie, 25, sudah berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak 11 kali.

Andai terpilih beraksi di Komanwel ia penyertaan keduanya di temasya itu.

Tiga tahun lalu di Glasgow, Jackie sekadar mencatat balingan 59.24m dan gagal menempatkan diri ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 10:35 PM