PENYERANG Marseille, Lucas Ocampos (bawah) jatuh selepas dirempuh Neymar. FOTO/AFP
AFP

MARSEILLE, Perancis: Neymar menyalahkan pengadil kerana ‘terpedaya dengan sandiwara Marseille’ selepas dia dibuang padang ketika Paris Saint-Germain seri 2-2 di Stade Velodrome, awal pagi tadi.

Neymar sering kali diterjah dan dikasari dalam perlawanan menentang musuh utama PSG dalam Ligue 1 selain dilempar dengan objek oleh peminat Marseille ketika mengambil sepakan sudut.

Bekas penyerang Barcelona itu akhirnya dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua pada lewat perlawanan, kedua-duanya kerana tindak balasnya dengan bintang Brazil itu kelihatan mahu menanduk dengan kepala ke arah penyerang Marseille dari Argentina, Lucas Ocampos.

“Ia bukannya bola sepak,” rungut pemain termahal dunia itu.

PENGADIL, Ruddy Buquet (kanan) melayangkan kad merah kepada Neymar. FOTO/AFP

“Pengadil terpedaya dengan sandiwara pemain Marseille.

“Saya menjadi mangsa lontaran objek, tin minuman, baguette (roti). Saya tidak hilang kawalan tapi saya terima kesilapan saya.”

Dia menggambarkan suasana tegang di pantai selatan itu sama seperti malam aksi ‘Liga Juara-Juara’.

“Kami cuba bermain seperti yang dimahukan tapi ia sukar. PSG tidak hebat mana... Marseille bagus dan kami di bawah tahap sebenar. Kami perlu membiasakan diri dengan permusuhan sebegini.”

Suasana tegang memuncak bagi pertembungan ‘clasico’ Perancis, yang mana penyokong PSG ditegah masuk berikutan kebimbangan keselamatan.

Penyokong bertempur dengan polis di luar gelanggang dengan kereta yang menggunakan plat Paris diserang.

Jurulatih PSG, Unai Emery menggesa pengadil Ligue 1 memastikan pemain bintang seperti Neymar dijaga rapi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 9:33 PM